STROK atau angin ahmar bukanlah penghujung kepada kehidupan.
Penyakit itu jika dirawat dan diberi penjagaan dengan komprehensif, akan memberi peluang kedua kepada pesakit.
Pada peringkat awal serangan strok, pesakit biasanya akan menerima rawatan di hospital kerana mempunyai banyak komplikasi.
Selepas enam bulan atau melepasi peringkat akut strok, pesakit biasanya dibenarkan pulang ke rumah dan dijaga sendiri oleh ahli keluarga.
Namun ramai yang tidak sedar bahawa penjagaan lanjutan strok adalah kompleks kerana melibatkan keseluruhan aspek kehidupan pesakit seperti keperluan fizikal, psikologikal, proses rehabilitasi dan penglibatan ke dalam komuniti.
Akibat tiada pengetahuan atau kurang mengambil berat mengenai penjagaan lanjutan strok, aspek-aspek tersebut sering diabaikan penjaga sehinggakan tahap kesihatan pesakit bukan sahaja tidak berkembang, malah boleh menjadi lebih teruk.
Sehubungan itu, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) pada 2008 mengambil inisiatif menubuhkan Klinik Lanjutan Strok yang kini beroperasi di Klinik Primer PPUKM, Cheras, Kuala Lumpur.
Pengarah Klinik Lanjutan Strok Pusat Perubatan Primer PPUKM, Prof. Dr. Noor Azah Abd. Aziz berkata, selain memberi penjagaan berterusan kepada pesakit strok yang berada dalam komuniti, penubuhan Klinik Lanjutan Strok juga bertujuan mendidik orang ramai tentang penjagaan lanjutan strok yang berkesan.
Pihaknya juga berfungsi sebagai perkhidmatan perantara di antara hospital dan perkhidmatan sokongan seperti rehabilitasi, dietatik dan khidmat sosial perubatan.
“Di sini, kami memberi rawatan komprehensif bagi mengelak strok berulang termasuk memantau risiko-risiko penyakit strok seperti darah tinggi, tahap kolesterol tinggi, diabetes dan sebagainya.
“Kami juga memantau amalan cara hidup sihat pesakit, memberi sokongan moral serta membuat penilaian status emosi, kognitif dan fizikal pesakit strok serta penjaga.
“Selain itu, kami memantau dan merawat jika ada masalah kesihatan yang timbul dan juga komplikasi baharu berkenaan strok,” katanya kepada Mega Rona baru-baru ini.
Klinik Lanjutan Strok Pusat Perubatan Primer PPUKM kini mempunyai 12 kakitangan termasuk pakar perubatan keluarga yang dilatih dalam bidang strok, pegawai perubatan, pakar dietetik, ahli terapi, pakar pergigian serta jururawat terlatih.
Klinik itu hanya beroperasi pada setiap Jumaat bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Menurut Noor Azah, setiap tahun pihaknya akan didatangi antara 60 dan 80 pesakit dan ketika ini, sebanyak 200 pesakit sedang mendapatkan rawatan di klinik itu.
Sejak ditubuhkan, kira-kira 40 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan di Klinik Lanjutan Strok Pusat Perubatan Primer PPUKM beransur pulih dan boleh berdikari mengikut tahap keupayaan masing-masing.
“Di sini, kita mahu pesakit berdikari. Kalau pesakit itu baring, kita mahu dia duduk; kalau duduk…, kita mahu dia berdiri dan kalau berdiri, kita mahu dia berjalan.
“Dengan sokongan yang ada di sini, kita akan cuba bantu dia untuk berdikari setakat mana yang dia mampu, seterusnya boleh kembali kepada komuniti,” ujarnya.
Kebarangkalian pesakit strok untuk pulih bergantung kepada impak di otak masing-masing kerana penyakit itu berlaku disebabkan salur darah yang tersumbat di bahagian tersebut.
Ekoran itu, komplikasi setiap pesakit berbeza. Ada yang komplikasinya pada percakapan, ada yang lemah separuh badan dan ada yang tidak boleh menelan.
“Disebabkan komplikasi berbeza, maka cara pengendalian juga perlu secara ‘one to one’.
“Kita bekerjasama dengan hospital untuk melihat pesakit itu sebagai individu. Kita dan rakan seperti neurologi di hospital akan buat susulan satu persatu,” ujar Prof. Dr. Noor Azah lagi.
Klinik Lanjutan Strok Pusat Perubatan Primer PPUKM bukan hanya menawarkan perkhidmatan penjagaan strok lanjutan, malah turut mengadakan pelbagai aktiviti untuk pesakit secara berkala.
Antara aktiviti yang dijalankan ialah program berkongsi pengalaman penjagaan pesakit strok, perkongsian teknik psiko-terapi serta aktiviti-aktiviti lain dengan kerjasama Kelab Komuniti Ahli Strok Impikan Harapan (Kekasih).
Klinik Lanjutan Strok Pusat Perubatan Primer PPUKM turut mengorak langkah apabila mengadakan kerjasama dengan University of Nottingham pada 2012 dan University of Cambridge pada 2015 dalam menjalankan kajian dan penyelidikan berkenaan strok.











