GEORGE TOWN 22 April – Sebuah Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan diwujudkan di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), yang pertama di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, UTC baru itu akan ditempatkan di tingkat dua dan tiga bangunan 65 tingkat itu.
“Pulau Pinang setakat ini tidak mempunyai UTC, kita cuma ada Pusat Transformasi Luar bandar (RTC) di Sungai Bakap. Kami sedang berusaha untuk membangunkan satu UTC di Pulau Pinang. Kerajaan Negeri telah menyenaraikan beberapa lokasi untuk dipilih oleh Kementerian Kewangan.
“Akhirnya Komtar dipilih untuk lokasi UTC ini, tapi ia belum dimuktamadkan, kerana masih banyak perjanjian belum ditandatangani. Ia masih di peringkat perbincangan berkenaan tempat, ruang, bagaimana cara untuk membiayai pengubahsuaian dan lain-lain lagi. Kami menyambut baik initiatif untuk membawa kehadiran ramai ke Komtar ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu Chow menghadiri majlis pelancaran program-program Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sempena ulang tahun ke 50 Perbadanan itu. – BERNAMA











