KUALA LUMPUR 29 April – Menteri-menteri Kabinet daripada DAP dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu meletakkan jawatan berikutan kegagalan menunaikan janji dalam manifesto pilihan raya mereka.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menjelaskan, Menteri-menteri dari DAP terutamanya Lim Guan Eng dan Teo Nie Ching perlu segera mengundurkan diri sebagai mengambil tanggungjawab terhadap pembohongan mereka terhadap pengundi-pengundi Cina bahawa hak kaum itu akan diperjuangkan.
“Setelah memperoleh kuasa, DAP kini dilihat menyokong dasar-dasar berasaskan perkauman seperti mempertahankan sistem kuota untuk matrikulasi serta peningkatan dalam agenda Bumiputera. Kenyataan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching yang menafikan keputusan tersebut menunjukkan DAP hanya pemerhati dalam kerajaan PH.
“Saya percaya menteri-menteri DAP terutamanya Guan Eng dan Nie Ching harus meletakkan jawatan dengan segera serta mengambil tanggungjawab kerana berbohong kepada pengundi-pengundi Cina. Sebelum pilihan raya umum lalu mereka berkata akan memperjuangkan hak-hak pengundi Cina tetapi nampaknya hak-hak tersebut semakin terhakis oleh kerajaan sekarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, tambah Dominic, kenyataaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan hari ini tidak mampu untuk memenuhi manifesto kerana mewarisi beban hutang yang tinggi adalah merupakan kenyataan tidak bertanggungjawab.
“Kenyataan oleh Muhyiddin itu menunjukkan sikap tidak bertanggungjawabnya kerana beliau adalah Timbalan Perdana Menteri semasa pentadbiran terdahulu. Kenapa beliau tidak mengulasnya pada waktu itu ataupun beliau ‘tidur’ ketika waktunya sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“DAP harus mengambil tanggungjawab kerana sekarang telah terbukti bahawa manifesto itu hanyalah langkah populis untuk memenangi hati pengundi tanpa mengira keadaan kewangan negara,” katanya.-UTUSAN ONLINE











