SERI MANJUNG – Pasukan Perak merakam kemenangan bergaya selepas berpesta gol menewaskan Kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP FC) 4-0 dalam saingan Liga Super di gelanggang lawan di Stadium Majlis Perbandaran Seri Manjung di sini sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan memperagakan corak perlawanan menyerang pada awal babak pertama dalam usaha memburu jaringan awal untuk pasukan masing-masing.
Usaha Perak mengucar-kacirkan pertahanan lawan akhirnya membuahkan jaringan apabila pemain tengahnya, Brendan Gan menyudahkan bola hantaran rakan sepasukan, Mohd. Nor Hakim Hassan pada minit ke-14.
The Bos Gaurus sekali lagi menunjukkan belangnya apabila berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-30 menerusi pemain penyerang import, Gilmar Jose Da Silva Filho selepas keadaan kelam-kabut di hadapan gol PKNP FC.
Anak buah Mehmed Durakovic terus mempamerkan permainan berkualiti pada babak kedua perlawanan apabila menjaringkan gol ketiga yang disudahkan kapten pasukan, Shahrul Mohd. Saad pada minit ke-56.
Pelawat berpeluang menambahkan jaringan pada minit ke-86 namun bola sepakan penalti yang diambil Gilmar tinggi melepasi gawang gol.
Gilmar bagaimanapun menebus kesilapannya apabila menjaringkan gol keempat Perak selepas menanduk bola ke gawang PKNP FC selepas mendapat hantaran daripada rakannya, Muhammad Firdaus Saiyadi pada minit ke-90.
Beberapa percubaan PKNP FC sepanjang perlawanan di hadapan lebih 3,600 penyokong kedua-dua pasukan itu tidak berjaya diterjemahkan kepada jaringan gol.
Keputusan akhir, Perak menang ke atas PKNP FC dengan jaringan besar 4-0. – K! ONLINE











