COLOMBO 21 April – Jumlah kematian dalam lapan serangan letupan hotel dan gereja di sini meningkat kepada 207 orang dengan 450 dilaporkan cedera, setakat ini.
Daily Mirror melaporkan, jurucakap polis, Ruwan Gunasekara berkata, 66 mayat dan 260 orang cedera telah dibawa ke Hospital Negara manakala 104 mayat dengan 100 orang cedera dibawa ke Hospital Negombo.
Katanya, tiga orang telah ditahan berhubungan serangan itu yang menyasarkan hotel mewah dan gereja ketika menghadiri upacara Easter hari ini.
Sementara itu, Pengarah Hospital Negara, Dr. Anil Jasinghe memberitahu, sebanyak 11 warga asing dari Poland, Denmark, China, Jepun, Pakistan, Amerika Syarikat, India, Maghribi dan Bangladesh antara yang terkorban telah dibawa ke sini.
Tambahnya, bagi mereka yang cedera menyaksikan 30 individu dibawa ke Hospital North Colombo, Hospital Batticaloa (69 orang), Hospital Negombo (55 orang) dan 14 kanak-kanak dirawat di Hospital Lady Ridgeway. – AFP/AGENSI











