KEHENINGAN pagi Jumaat 15 Mac lalu dikejutkan dengan nada menggetar telefon, tanda terdapat pesanan mesej baharu.
Nada ini sudah kerap kedengaran, mengakibatkan pesanan itu tidak penulis endahkan. Beberapa ketika kemudian, nada tersebut kembali menggetar. Sekali lagi, ia tidak dihiraukan.
“Siapalah yang suka sangat bermain dengan telefon pagi-pagi ni? Tak de kerja lain ke?”, bisik hati kecil penulis. Dan sekali lagi, telefon dibiarkan begitu sahaja.
Dengan tidak semena-mena, nada menggetar kembali berulang. Bertalu-talu. Kali ini berlangsung pada kekerapan yang agak lama, tanda terdapat pesanan mesej yang banyak bilangannya.
Telefon bimbit dicapai dan dibelek, aplikasi WhatsApp dibuka.
Perbualan di salah satu kumpulan WhatsApp menarik perhatian kerana dipenuhi dengan ucapan takziah, disusuli dengan Ummul Kitab. “Siapa pulak yang meninggal ni?”, bisik hati kecil penulis. Pesanan WhatsApp disingkap ke permulaan perbualan. Terdapat video yang disebarkan oleh seorang hamba Allah.
Video dimulakan. Disaksikan adegan yang memaparkan seorang individu memegang senjata api yang mempunyai corak aneh, menuju ke arah pekarangan sebuah bangunan.
Tidak lama kemudian, senjata api itu diacukan terhadap seorang individu di pintu bangunan itu. Pada masa sama, kedengaran beberapa das tembakan dilepaskan, menyebabkan individu tersebut jatuh tersungkur.
BERLUMURAN DARAH
Si pemegang senjata api kemudiannya gegas menuju masuk ke ruangan lain bangunan itu. Tembakan demi tembakan ditala terhadap beberapa individu lain, menyebabkan mereka jatuh tersungkur, bermandikan percikan lumuran darah. Individu-individu lain yang berada di ruangan yang sama, lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri masing-masing.
Video ditutup. Kenapakah video klip permainan Play Station menjadi topik hangat perbualan kumpulan WhatsApp di pagi ini?
Pertanyaan itu berlegar di minda penulis. Mesej yang mengandungi video tersebut dibaca. Barulah penulis sedar bahawa video tersebut bukanlah sebuah klip permainan Play Station. Ia merupakan rakaman peristiwa yang amat menyayat hati.
Suatu rakaman pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand. Ketika umat Islam mula beriqtikaf, mula bermuhasabah diri, khusyuk mendirikan solat sunat menunggu peluang bersemuka dengan pencipta sekelian alam pada penghulu hari, pengganas laknatullah memilih masa ini untuk menyembelih hamba-hamba Allah tersebut.
EKSTREM
Rakaman tersebut dilakukan oleh seorang pengganas ekstremis kulit putih dan tindakan pengecut yang dilakukan olehnya adalah kerana bencikan penganut Islam di kepulauan New Zealand.
Apakah sebab sebenar pengganas ini bertindak sedemikian? Manifesto yang dikirimkan oleh pengganas itu kepada Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, pada hari yang sama sejurus sebelum pembunuhan itu berlaku, menggariskan nawaitu si pengecut laknatullah. Beliau sebenarnya menganggap mereka yang menganut agama Islam sebagai invaders atau penceroboh kepulauan New Zealand. Oleh itu, kaum Muslim mesti diusir untuk mengekalkan kesucian kepulauan tersebut.
Dan proses pengusiran ini harus dilakukan dengan keganasan yang ekstrem, serta dirakamkan dan dipaparkan melalui internet, agar ia menjadi suatu templat kepada ekstremis kulit putih yang lain, walaupun di mana mereka berada di dunia ini.
Pada ketika ini, penulis sedar bahawa perkataan invaders merupakan perkataan yang sama yang digunakan oleh Presiden Amerika Syarikat, (AS) Donald Trump ketika menyampaikan retoriknya kepada penyokong tegar beliau. Salah satu ciri ucapan Donald Trump adalah dengan membangkitkan sentimen perkauman bahawa kaum kulit putih telah ditindas dengan hadirnya penganut agama Islam di bumi AS.
Beliau telah bertindak untuk menyekat kemasukan migran dari beberapa negara Islam atas alasan bahawa migran-migran ini besar kemungkinan pengganas Islam. Mesej yang disampaikan adalah penganut agama Islam sedang giat menceroboh sempadan AS.
Dan memandangkan demikian, keselamatan rakyat AS terancam. Ucapan seperti ini mengakibatkan sentimen perkauman disemarakkan.
Ekstremis kulit putih telah bertindak dengan menyambut laungan yang disarankan oleh Donald Trump itu. Hasilnya, kadar penindasan terhadap penganut Islam telah meningkat naik sejak presiden itu berkuasa.
Perlu diingatkan dengan teknologi masa kini khususnya dengan kehadiran internet, ucapan rasis Trump ini dapat dilihat dan telah disampaikan keseluruhan dunia.
Kesimpulannya, mesej dan retorik perkauman telah disampaikan kepada ekstremis kulit putih di mana sahaja mereka berada. Dan hanya masa sahaja akan menentukan apakah kesan lain yang akan mengekori mesej ini.
Pelajaran yang dapat dicedok dari situasi di atas adalah perkataan yang dilaungkan oleh seseorang pemimpin mendatangkan kesan kepada rakyat jelata.
Suka atau tidak, pemimpin harus sedar bahawa mereka merupakan contoh. Perwatakan dan perkataan yang digunakan akan dikupas, di analisis dan dicontohi, tidak kira ia baik ataupun sebaliknya.
AKTA HASUTAN
Baru-baru ini, adalah menjadi satu trend dalam kalangan pemimpin-pemimpin kita di kedua-dua belah jurang parti politik untuk membangkitkan semangat perkauman melalui ucapan-ucapan mereka.
Mereka mengambil tindakan ini untuk meraih sokongan dari penyokong-penyokong tegar mereka.
Pada masa yang sama, mereka berharap ucapan bercorak perkauman ini akan membangkitkan sentimen rakyat dan meraih sokongan dari pihak yang berkecuali.
Apabila ditegur, mereka dengan angkuhnya bertindak dengan berselindung di sebalik tabir kebebasan bersuara seperti mana yang telah di jamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Apabila laporan polis dibuat terhadap mereka, hairannya mereka meremehkan laporan tersebut seraya berkata ia hanya merupakan satu tindakan politik untuk meraih simpati penyokong. Akta Hasutan yang seharusnya terpakai di situasi sebegini, tidak diendahkan, seolah-olah ia tidak wujud sama sekali.
Berbekalkan niat untuk meraih sokongan, maka mereka bermodalkan retorik perkauman demi mencapai matlamat mereka ini, tidak mengira kesan yang akan ditinggalkan kepada rakyat secara amnya.
Perkara ini harus dihentikan dengan serta-merta. Sepertimana yang telah digariskan di atas, kita harus menimba pengajaran dari kesan negatif penggunaan retorik perkauman.
Penggunaan retorik seperti ini sekiranya diteruskan hanya akan merugikan negara. Ya, di mana kerugian ini mungkin tidak akan dapat diberi pampasan dengan apa cara jua pun.
DATUK M REZA HASSAN ialah seorang pengamal undang-undang.











