PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan laporan Malaysia Nanban yang mendakwa kaum India di negara ini tiada peluang kerja dan dipinggirkan dalam pengambilan kakitangan sektor pendidikan.
Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, urusan pengambilan kakitangan sektor pendidikan tidak diuruskan oleh KPM sebaliknya Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) bertindak selaku pihak berkuasa melantik.
Menurutnya, dari segi keperluan pengambilan yang dikemukakan kepada SPP, kementerian tidak pernah menetapkan sebarang syarat pengisian jawatan berasaskan diskriminasi kepada mana-mana kaum, kepercayaan atau jantina dalam mengambil kakitangan awam di semua peringkat.
“KPM menegaskan bahawa laporan tersebut adalah sama sekali tidak benar dan tidak berasas.
“Selain itu, laporan yang mengatakan bahawa pengambilan kakitangan baharu hanya mengutamakan satu-satu kaum juga tidak berasas dan bersifat mencetuskan persepsi negatif terhadap KPM,” katanya di sini hari ini.
Kenyataan itu berkata, KPM juga telah dimaklumkan bahawa pihak SPP telah melaksanakan proses pengambilan secara profesional dan penuh berintegriti berdasarkan merit kelayakan seseorang calon.
“KPM dan SPP tidak meminggirkan mana-mana kaum kerana sektor pendidikan merupakan bidang yang memerlukan penglibatan semua rakyat Malaysia yang berkelayakan tanpa mengira kaum dan agama bagi menyediakan pendidikan berkualiti,” katanya.
Sementara itu, KPM berkata, Malaysia Nanban sebagai akhbar yang bertanggungjawab tidak sewajarnya menyiarkan laporan yang tidak berasas tanpa menyemak fakta dan maklumat yang betul terlebih dahulu.
“Siaran laporan yang tidak benar ini boleh menimbulkan salah tanggapan dan persepsi negatif terhadap KPM dan SPP,” katanya. – K! ONLINE











