NUR-SULTAN 28 April – Tindakan kekerasan China terhadap etnik Islam di Xinjiang turut mempengaruhi pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) yang diusahakan oleh Beijing.
Channel News Asia melaporkan, perkara itu dapat dilihat menerusi langkah kerajaan mengharamkan pemakaian hijab dan larangan menyimpan janggut kepada umat Islam yang berada di zon ekonomi khas Khorgos yang memisahkan China dan Kazakhstan.
China menganggap polisi keselamatan itu, yang dikenakan kepada hampir semua penganut Islam di wilayah Xinjiang sebagai penting kearah mencapai kejayaan projek berkenaan.
Xinjiang diketahui sebagai pintu utama menghubungkan China dan negara Asia Tengah selain negara rakan utama BRI, Pakistan.
Penyelidik bebas Jerman yang pakar mengenai Xinjiang, Adrian Zenz berpendapat, BRI menjadi usaha penting kerajaan China mengukuhkan penguasaannya terhadap wilayah bergolak itu.
Antara tindakan drastik yang dilaksanakan kerajaan China termasuk menempatkan hampir satu juta etnik Uighur dan minoriti Islam yang fasih berbahasa Turki di kem-kem tahanan yang disifatkan Beijing sebagai pusat pendidikan vokasional.
Bagaimanapun, tindakan kejam China itu meletakkan pemimpin-pemimpin dari negara Asia Tengah dan Pakistan yang menghadiri sidang kemuncak BRI dalam keadaan yang dianggap canggung.
Penerima utama projek berkenaan mengelak secara terbuka mengkritik penindasan yang dilakukan China terhadap penganut Islam di negara tersebut.
Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan yang disoal Financial Times tentang kekejaman China terhadap etnik Uighur memberitahu tidak tahu menahu berkenaan perkara tersebut.
Kazakhstan pula sebelum ini pernah menyatakan bahawa kebajikan etnik Kazakh menjadi keutamaan dalam hubungan dua hala bersama Beijing.
Namun pihaknya turut menyuarakan sokongan kepada usaha China dalam memerangi keganasan, pelampau dan kumpulan-kumpulan pemisah di Beijing. – AGENSI











