Kemenangan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada pilihan raya umum baru-baru ini memberi mesej jelas kepada dunia bahawa Palestin akan terus ‘berduka’ untuk suatu tempoh lebih panjang.
Malah, kemenangan Parti Likud pimpinan Netanyahu itu membuktikan penduduk Israel dilihat mahu mengekalkan status quo mereka dan ingin meneruskan pencerobohan terhadap tanah milik rakyat Palestin.
Parti berkenaan dan pesaingnya, Parti Biru dan Putih pimpinan bekas jeneral tentera, Benny Gantz bagaimanapun tidak memperoleh majoriti di Parlimen namun Netanyahu berada pada kedudukan kukuh untuk membentuk kerajaan campuran.
PALESTIN TERUS BERDUKA

Netanyahu sebelum ini pernah menyatakan ‘keinginannya’ untuk menjajah Tebing Barat sepenuhnya sekiranya beliau memenangi pilihan raya.
Beliau dengan angkuh menegaskan tidak berasa malu untuk meluaskan jajahan Zionis di Tebing Barat yang ketika ini semakin dipenuhi dengan penduduk Yahudi.
Netanyahu juga menegaskan Israel tidak akan ‘mengeluarkan walaupun seorang penduduknya’ dari Tebing Barat.
Tindakan itu dilihat sama seperti Israel menjajah sepenuhnya Bukit Golan yang terletak dalam wilayah Syria dan timur Baitulmuqaddis.
Malah, tindakan Israel itu mendapat sokongan daripada Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) yang menukar deskripsi berhubung Bukit Golan daripada ‘kawasan jajahan Israel’ kepada ‘kawasan kawalan Israel’ dalam laporan hak asasi manusia global tahunan, Mac lalu.
Nabil Abu Rudeineh yang juga jurucakap Presiden Palestin, Mahmoud Abbas memaklumkan rancangan Netanyahu itu tidak akan ‘memberi kesan’ terhadap pembinaan penempatan haram Israel di Tebing Barat yang kini dianggarkan mempunyai sebanyak 400,000 unit kediaman.
Menurutnya, sebarang langkah atau pengumuman yang dibuat Perdana Menteri itu tidak akan mengubah apa-apa fakta dan penduduk Palestin semakin kehilangan tanah mereka.
Kenyataan Nabil dibuktikan apabila pihak berkuasa Israel meluluskan pembinaan 770 unit kediaman haram baharu di Baitullaham, Tebing Barat pada 6 April lalu.
Kelulusan itu tidak termasuk projek pembinaan kediaman haram berhampiran Maksad dan rancangan Israel merampas ratusan tanah pertanian milik rakyat Palestin di utara Lembah Jordan.
Seorang pegawai yang memantau aktiviti penempatan di daerah Lembah Jordan/Tubas, Mutaz Bisharat mengesahkan tanah seluas 38.45 hektar akan dirampas oleh rejim Zionis dan rampasan itu dilakukan bagi membina jalan raya baharu untuk penduduk Israel.
Laporan terbaharu yang didedahkan Biro Statistik Pusat Palestin (PCBS), Israel ketika ini menduduki lebih 85 peratus tanah asal penduduk Palestin merangkumi kawasan 27,000 kilometer persegi atau 2.7 juta hektar.
Ini menjadikan 48 peratus daripada jumlah rakyat Palestin yang merupakan penduduk asal hanya berpeluang menggunakan 15 peratus daripada tanah warisan mereka.
MANIPULASI PERJANJIAN OSLO
Israel menggunakan klasifikasi tanah mengikut Perjanjian Oslo (Kawasan A,B dan C) untuk mengetatkan kawalan ke atas tanah Palestin terutama di kawasan yang diklasifikasikan sebagai C yang mempunyai keluasan 337,500 hektar.
Kira-kira 264,200 hektar membentuk 76.3 peratus daripada jumlah kawasan yang diklasifikasi sebagai kawasan C telah dieksploitasi oleh pendudukan Israel secara langsung.
Kawasan yang diklasifikasi sebagai kawasan A adalah seluas 100,000 hektar manakala kawasan B (103,500 hektar).
Lagi 25,000 hektar termasuk rizab semulajadi Baitulmuqaddis Timur diklasifikasikan sebagai lain-lain manakala Hebron dikenali sebagai H2 dan kawasan yang tidak diklasifikasikan.
Pada 2018, rejim Zionis merampas 50.8 hektar lagi tanah Palestin sebagai tambahan kepada rampasan puluhan hektar tanah Palestin menerusi pembesaran pusat pemeriksaan Israel dan pusat pemeriksaan tentera bagi melindungi pendatang haram Yahudi.
Beratus hektar tanah penduduk Palestin turut dirampas pendatang Yahudi untuk kegunaan sendiri dan kawasan yang telah diusahakan di penempatan haram pendatang itu pada tahun lalu mencapai keluasan kira-kira 11,000 hektar.
Terdapat 435 penempatan haram Yahudi dan pangkalan tentera Israel di Tebing Barat menjelang akhir tahun 2017.
Tahun lalu menyaksikan peningkatan ketara dalam kadar pembinaan dan penambahan penempatan Israel di Tebing Barat yang mana rejim Zionis meluluskan pembinaan 9,384 unit rumah baharu.
Kawasan-kawasan yang dikuasai penempatan haram Yahudi di Tebing Barat berjumlah 541.5 kilometer persegi yang mewakili kira-kira 9.6 peratus dari Tebing Barat.
Sementara kawasan yang dirampas untuk tujuan pembinaan pangkalan tentera dan latihan ketenteraan adalah sekitar 18 peratus dari Tebing Barat.
PENDERITAAN LEBIH LAMA
Pihak berkuasa Israel turut meletakkan halangan dalam mengetatkan pengepungan dan menyekat keluasan bandar Palestin terutama di Baitulmuqaddis dan kawasan C di Tebing Barat yang di bawah penguasaan penuh Israel.
Penderitaan rakyat Palestin akan berlanjutan untuk satu tempoh yang lama selepas kemenangan Netanyahu, ditambah dengan hasrat ‘rakusnya’ yang mahu memperluaskan pencerobohan Israel di tanah Palestin
Persoalannya, di manakah negara-negara yang sepatutnya membantu Palestin? Di manakah kuasa-kuasa besar Arab dan Islam? Di manakah Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)? Adakah hanya akan duduk diam sahaja dan melihat apa yang berlaku? Atau tidak terdaya untuk berbuat apa-apa kerana ‘takutkan’ kedudukan ekonomi dan hubungan antarabangsa mereka terjejas?











