'Kembalikan hak kami' - Utusan Malaysia

‘Kembalikan hak kami’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 29 April – Kesemua 42 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang menaungi 100,000 orang petani di negeri ini hari ini membantah sekeras-kerasnya terhadap pindaan komposisi ahli jemaah pengarah pertubuhan itu yang dianggap satu bentuk campur tangan politik.

Malah berikutan pindaan yang akan berkuat kuasa 1 Mei ini, terdapat ahli-ahli PPK yang mengancam untuk mengeluarkan pelaburan dan menggunakan platform lain untuk mewakili mereka.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah, Datuk Abdul Lateh Mohd. Saman, pindaan tersebut bukan sahaja telah mencabul hak ahli-ahli pertubuhan itu tetapi juga ‘merampas’ kuasa mereka untuk melantik ahli jemaah pengarah di tiga peringkat untuk mewakili suara golongan berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata beliau, tiga peringkat tersebut adalah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), PPN dan PPK.

“Lebih malang, menerusi pindaan ini, lebih separuh daripada pelantikan ahli jemaah pengarah Nafas, PPN dan PPK adalah di bawah kuasa Menteri (Pertanian dan Industri Asas Tani) manakala selebihnya melalui mesyuarat agung (demokrasi).

“Malah pelantikan pengerusi PPN juga mesti dengan persetujuan Menteri.

“Harus diingat bahawa Pertubuhan Peladang ini bukanlah sebuah agensi kerajaan yang ahli jemaah pengarahnya boleh dilantik sesuka hati tanpa persetujuan ahli yang membuat pelaburan saham,” katanya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di sini, hari ini.

Yang hadir sama bagi memberi sokongan ialah seramai 42 Pengerusi PPK Kedah.

Tambah Abdul Lateh, selain daripada pemilihan sebahagian besar ahli jemaah pengarah secara autokratik tanpa melalui mesyuarat agung seperti mana sebelum ini, pelantikan Peladang Muda dan Peladangnita juga dibuat oleh Menteri dalam pindaan itu.

“Tujuan asal mewujudkan dua kategori ini (Peladang Muda dan Peladangnita) adalah untuk menggalakkan orang muda dan wanita menceburi pertanian dan seharusnya dipilih berdasarkan ahli-ahlinya,” katanya.

Beliau sehubungan itu mendesak campur tangan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sekali gus mengekalkan perlembagaan sebelum ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini