Jutaan pelancong ke Malaysia jalani rawatan - Utusan Malaysia

Jutaan pelancong ke Malaysia jalani rawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bukan mudah melakukan kerja-kerja fizikal dengan berat badan berlebihan akibat obesiti.

Selain membataskan pergerakan Langl Kelly, 42, yang memiliki berat 190 kilogram, ia juga menyebabkan kerja-kerja rumah sukar dilaksanakan kerana mudah letih.

Bahkan, ibu empat anak dari Hastings, New Zealand itu menyifatkan, perkara-perkara kecil seperti mandi dan pergi ke tandas juga menjadi sukar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Menyedari tubuh ini semakin lemah, saya berjumpa doktor untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, namun setelah darah diambil, doktor dapati terdapat masalah kolesterol yang serius dikaitkan dengan obesiti.

“Kata doktor, sekiranya saya tidak mencari jalan untuk menyelesaikan masalah berat badan, saya hanya ada dua tahun lagi untuk hidup,” ujarnya ketakutan dalam satu sedutan video yang dipaparkan kepada media di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sinar harapannya mula menyala apabila seorang rakannya yang mengalami masalah sama mendapatkan rawatan pembedahan bariatrik di Malaysia dan berjaya menurunkan berat badan.

Melihat kejayaan rakannya itu, Kelly tergerak hati untuk mengikuti jejak langkahnya.

Setelah berbincang bersama keluarga, akhirnya Kelly bulatkan hati untuk terbang merentasi ribuan kilometer dari New Zealand untuk menjalani pembedahan di Malaysia.

Antara faktor utama yang membuatkannya sanggup menjalani pembedahan di Malaysia adalah disebabkan kos pembedahan yang dua kali ganda lebih murah berbanding di negaranya.

“Sebelum masuk ke bilik pembedahan, saya hanya mampu berdoa agar sesi pembedahan itu berjalan lancar dan dapat pulang kembali bertemu anak-anak di kampung halaman.

“Prosedur pembedahan itu berjalan lancar dan saya tidak sedikit pun khuatir sepanjang pembedahan itu berlangsung,” jelasnya yang mengikuti pembedahan itu di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada 2017.

Selain kos pembedahan yang lebih rendah, Kelly turut berpuas hati dengan penjagaan kesihatan yang ditawarkan semasa kunjungannya ke Malaysia.

Profesional

Jelasnya, perkhidmatan yang ditawarkan oleh tenaga pakar dalam bidang kesihatan di Malaysia cukup profesional dan teliti.

Kelly kini boleh tersenyum bahagia apabila pembedahan itu berjaya mengurangkan berat badannya sebanyak 65kg.

Hakikatnya, bukan Kelly sahaja pelancong yang mendapatkan rawatan di Malaysia, sebaliknya ikhtiar warga-warga luar negara untuk mendapatkan rawatan kesihatan di negara ini semakin menjadi kelaziman.

Sebagai contoh, statistik daripada Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) mendedahkan, seramai 1.2 juta pelancong asing mendapatkan perkhidmatan rawatan kesihatan di Malaysia pada tahun lalu.

Ia merupakan peningkatan dua kali ganda sejak MHTC secara agresif mempromosikan Malaysia ke mata dunia dalam sektor pelancongan kesihatan pada tahun 2012.

Sejak itu, sektor pelancongan kesihatan di Malaysia terus melonjak sambil menyumbang kepada ekonomi negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia, Sherene Azli, MHTC tahun ini menyasarkan pendapatan sektor pelancongan kesihatan khususnya dari hospital swasta Malaysia meningkat sebanyak 25 peratus bersamaan RM6 bilion.

“MHTC ditubuhkan pada tahun 2011. Ia pada awalnya di bawah Kementerian Kesihatan dengan dua mandat utama iaitu MHTC mempromosikan dan menjadi fasilitator dalam mengembangkan industri pelancongan kesihatan negara,” katanya ketika ditemui K2 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kini, MHTC diletakkan di bawah Kementerian Kewangan dengan mengambil kira potensi besar industri pelancongan kesihatan dalam menjana ekonomi negara.

Uniknya, Malaysia merupakan satu-satunya negara yang memiliki model khusus dan berjaya mempromosikan industri terbabit dengan berkesan.

Model tersebut lebih tersusun, strategik dan selaras di antara pihak kerajaan dengan swasta bagi memperkukuh industri terbabit.

Selain itu, MHTC juga menekankan kerjasama dalam kalangan pihak swasta dan bersama-sama menggembleng tenaga memacu industri pelancongan kesihatan.

Kongsi Sherene, sejak tahun 2015, Malaysia menyaksikan pertumbuhan dalam industri pelancongan kesihatan sebanyak 27 peratus.

Ia melebihi purata pertumbuhan negara lain di dunia dalam industri sama iaitu sebanyak 12 peratus.

Sherene menyifatkan, Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki kelebihan dari segi daya saing dalam industri pelancongan kesihatan.

“Antara kekuatan yang Malaysia miliki ialah kualiti penjagaan kesihatan bertaraf dunia.

“Selain itu, harga yang ditawarkan kepada pesakit pula mampu milik hinggakan golongan kelas pertengahan juga boleh mendapatkan perkhidmatan itu di Malaysia,” ujarnya.

Terbaik dunia

Menariknya, harga perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan satu per empat lebih rendah berbanding negara jiran seperti Singapura dan Korea Selatan.

Tambah Sherene, perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan di Malaysia adalah terbaik berbanding negara Asean lain seperti Kemboja, Vietnam mahupun Myanmar.

Katanya, tidak hairanlah, laman web International Living mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang memiliki perkhidmatan kesihatan terbaik dunia sejak 2015. Terbaharu, pada Februari lalu, Malaysia diberikan kedudukan tempat pertama di dunia dengan markah 95 daripada 100.

Selain itu, Malaysia memiliki kelebihan dari segi penggunaan bahasa perantaraan.

Jelas Sherene, masyarakat Malaysia yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik menjadikan komunikasi sepanjang sesi rundingan kesihatan itu lebih mudah.

Malaysia juga kini menjadi pilihan destinasi pelancongan kesihatan dunia disebabkan ia hab halal global. Ujar Sherene, ia memberi kelebihan untuk menarik lebih ramai pelancong beragama Islam dan memberi keyakinan kepada mereka untuk menjalani rawatan di sini.

Menjelang tahun 2020 ini, MHTC turut melancarkan kempen Malaysia Healthcare Travel dengan kerjasama Tourism Malaysia untuk mengajak pesakit berkongsi pengalaman mereka sepanjang menjalani rawatan di Malaysia.

Perkongsian itu diharap dapat memberi harapan kepada pesakit lain untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan terbaik.

Sherene turut menegaskan, Malaysia mampu menjadi hab rawatan kesuburan dan kardiologi Asia menjelang 2020.

Hal ini kerana kadar kejayaan rawatan kesuburan In Vitro Fertilization (IVF) di Malaysia adalah tinggi iaitu secara purata antara 55 hingga 60 peratus.

Bagi rawatan kardiologi pula, Institut Jantung Negara (IJN) mempunyai reputasi yang sangat baik dan antara yang terbaik di Asia.

Rawatan kesuburan

Tahap permintaan dan kemampuan negara menyediakan rawatan berkenaan menunjukkan negara berpotensi besar untuk dipromosi sebagai hab rawatan sedemikian di rantau ini.

Maka tidak hairanlah, pelancong dari China, Mei Fung, 39, turut mendapatkan rawatan kesuburan di Malaysia kira-kira tiga tahun lalu.

Kongsinya, pelbagai usaha untuk hamil dilakukan sejak hampir lima tahun berkahwin.

Sehinggalah ketika melayari laman web, dia terlihat kejayaan pasangan suami isteri mendapatkan anak kembar menggunakan rawatan persenyawaan IVF.

“Itulah pertama kali saya dengar mengenai IVF dan nampak ada harapan kerana saya tahu rawatan IVF ini pasti dapat bantu kami mendapatkan bayi.

“Setelah memberitahu suami, kami pergi dengan yakin ke Malaysia kerana hospital di negara itu telah menerima banyak ulasan positif berhubung IVF,” jelasnya.

Kongsinya, sejak disahkan hamil selepas melakukan rawatan IVF sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada percubaan pertama, Fung cukup kesal kerana tidak melakukannya lebih awal.

“Pada hari kesembilan selepas prosedur itu, saya curi-curi menguji menggunakan kit kehamilan dan saya amat teruja kerana sebelum ini tidak pernah melihat dua garis pada kit itu,” tuturnya penuh gembira.

Sektor pelancongan kesihatan di Malaysia kian berkembang dengan negara ini diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai memiliki perkhidmatan penjagaan kesihatan terbaik dunia sejak 2015.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini