PULAU PINANG 29 April – Kerajaan negeri akan menyediakan pelan tindak balas kecemasan terperinci semasa fasa pembinaan dan operasi Pelan Induk Pengangkutan (PIP) yang dirancang di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pelan itu seperti disyaratkan dan dipatuhi bagi menjaga kepentingan orang awam dari aspek keselamatan, kesihatan dan alam sekitar yang disebabkan oleh kemalangan atau bencana alam.
Menurut beliau, pelan itu disediakan selari dengan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (1994) yang akan merangkumi beberapa situasi sepanjang pelaksanaan projek PIP seperti kerosakan peralatan, kecuaian manusia atau bencana alam.
“Pelan tindak balas kecemasan ini memberi keutamaan dan penekanan terhadap perlindungan nyawa, kesihatan orang awam, alam sekitar dan sumber asli, sosio ekonomi dan kebudayaan serta hartanah persendirian serta awam,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) menjawab pertanyaan Ong Khan Lee (PKR-Kebun Bunga) berhubung rancangan pengurusan risiko, kecemasan dan krisis sekiranya berlaku kemalangan atau kecelakaan semasa pelaksanaan projek-projek mega seperti PIP.
Sementara itu, Kon Yeow menambah, kerajaan negeri juga akan menubuhkan satu Jawatankuasa Bertindak Kecemasan Khas bagi mengendalikan projek-projek infrastrukur di bawah PIP.
Katanya, jawatankuasa itu khususnya bertanggungjawab memantau dan memastikan pelan tindak balas kecemasan bagi projek berkenaan dapat dilaksanakan.
Ujar beliau, jawatankuasa khas itu akan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan dan keselamatan sedia ada termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS); Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM).
Selain itu, tambahnya, kerjasama tersebut juga akan melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat; hospital; pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi teknikal lain yang berkaitan. – UTUSAN ONLINE











