KUALA LUMPUR 28 April – Status sebagai pasukan ranking tercorot dalam kejohanan hoki Siri Akhir FIH nyata tidak mengganggu fokus Itali apabila berupaya meraih kemenangan kedua Kumpulan B selepas menewaskan Brazil 3-0, sebentar tadi.
Kemenangan tersebut membolehkan Itali yang menghuni ranking 32 dunia berada di landasan terbaik memburu kedudukan teratas Kumpulan B bagi mendapatkan slot automatik ke saingan separuh akhir kejohanan.
Jurulatih Itali, Roberto Da Gai berkata, keputusan berkenaan telah membuatkan semua pemain semakin bersemangat untuk mempamerkan keputusan positif sepanjang kejohanan ini.
Kami berjaya mengawal permainan dengan baik ketika menentang Brazil dan akan terus mempamerkan aksi terbaik untuk perlawanan selepas ini menentang Malaysia pada esok.
Kami sedar Malaysia adalah pasukan yang hebat dan tiada apa-apa tekanan buat kami untuk aksi terakhir peringkat Kumpulan B nanti, katanya.
Dalam perlawanan menentang Brazil, tiga gol Itali kesemuanya hadir hasil gol padang dengan dua daripadanya menerusi Julian Montone pada minit kesembilan dan ke-36 manakala satu lagi dijaringkan oleh Mattia Amorosini pada minit ke-47.
Esok, Itali akan menentang Malaysia dalam aksi terakhir Kumpulan B.
Berdasarkan format kejohanan, setiap juara kumpulan akan meraih slot automatik ke saingan separuh akhir manakala tempat kedua dan ketiga perlu beraksi di play-off bagi melangkah ke saingan empat terakhir. – UTUSAN ONLINE











