KOTA BHARU 4 April – Sebanyak 1,000 surat tawaran melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Mara (Ipma) di seluruh negara dikeluarkan pada hari pertama Karnival Ipma di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kota Bharu di sini semalam.
Timbalan Pengarah (Pembangunan) Mara negeri Kelantan, Wan Saiful Baharin Wan Ahmad Marzuki berkata, surat tawaran itu diberikan terus kepada calon yang layak dan berjaya dalam temuduga yang diadakan di tapak karnival.

Beliau berkata, tawaran itu meliputi tiga kategori institusi pendidikan iaitu pendidikan pengajian tinggi dan profesional; bidang Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan juga pendidikan tinggi TVET.
“Kita membuka peluang kepada semua golongan daripada yang tamat darjah enam, lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Ijazah Sarjana Muda hinggalah Doktor Falsafah (PhD).
“Kita mahu memperkasakan modal insan yang berpotensi dalam pasaran pekerjaan relevan dengan kehendak Revolusi Industri Keempat (IR 4.0).
“Kalau ada pelajar yang tidak layak mendapat tawaran ke mana-mana institusi, mereka tidak perlu risau kerana tetap mempunyai peluang mengikuti kursus keusahawanan jangka pendek dan jangka panjang di bawah Mara,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Wan Saiful Baharin berkata, karnival yang berlangsung di sini selama dua hari bermula semalam adalah lokasi ketujuh daripada 15 lokasi jelajah program seluruh negara.
Antara institusi yang mengambil bahagian dalam karnival itu adalah Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kolej Universiti Polytech MARA (KUPTM), KPTM, German Malaysian Institute (GMI),Kolej MARA (KM), Kolej Profesional MARA (KPM), MARA Japan Industrial Institute (MJII), Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).
“Kita membuat penerangan mengenai peluang yang ada dan memberi surat tawaran terus kepada yang layak serta pembiayaan pelajaran sama ada daripada Bahagian Penganjuran Pelajaran Mara, Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dan institusi kewangan yang menaja pengajian,” katanya lagi.
Jelasnya, pada hari pertama semalam sebanyak 8,000 pengunjung direkodkan hadir ke karnival dan pihaknya yakin hari ini angka itu mampu melonjak lebih 10,000 orang sebaik program itu tamat pada pukul 6.00 petang ini.
Dalam pada itu, Pengarah KPTM Kota Bharu, Dr Syamsol Fozy Osman pula berkata, pihaknya setakat ini sudah menyerahkan 200 surat tawaran kepada calon yang layak melanjutkan pengajian ke lapan cawangan KPTM seluruh negara dalam pelbagai bidang antaranya kejuruteraan, kejururawatan, sains sosial dan kemasyarakatan serta perniagaan.
“Kami sediakan pelbagai insentif kepada pelajar contohnya pengurangan yuran jika ada adik-beradik turut belajar di KPTM begitu juga kepada pelajar cemerlang dan pelajar lepasan tahfiz,” katanya. – UTUSAN ONLINE











