MELAKA 22 April – Kerajaan akan membina sebuah hospital wanita dan kanak-kanak bernilai kira-kira RM500 juta bagi mengatasi masalah kesesakan di Hospital Melaka mulai tahun depan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, hospital tersebut yang mampu menempatkan sejumlah 440 buah katil dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan di wad bersalin dan kanak-kanak hospital itu antara 35 hingga 40 peratus berbanding sekarang.
Menurutnya, kerja-kerja awal untuk memohon peruntukan berjumlah RM200,000 daripada Unit Perancang Ekonomi sudah dijalankan bagi melaksanakan proses awal pembinaan.
Berita berkaitan:
“Hospital wanita dan kanak-kanak (WCH) ini akan dibina di atas tapak seluas 3.1 hektar iaitu di atas tapak Kolej Pengajian Kejururawatan Melaka yang terletak bersebelahan Hospital Melaka di Jalan Mufti Haji Khalil di sini.

“Kita harapkan kerja-kerja awal dapat dilaksanakan mulai tahun 2020 dan dalam anggaran tempoh dua atau tiga tahun iaitu antara 2022 atau 2023, ia bakal beroperasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Melaka sebentar tadi.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Low Chee Leong; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr. Rohaizat Yon; Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Rushdi Ramly dan Pengarah Hospital Melaka, Dr. Hatijah Mohd. Tan.
Pada lawatan itu, Dzulkefly turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM17,000 untuk membeli 10 unit kerusi hemodialisis dan RM90,000 untuk pembelian 10 unit troli pesakit, kedua-dua di Hospital Melaka.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM83,400 bagi membeli dua mesin dan dua kerusi hemodialisis untuk kegunaan Klinik Kesihatan Cheng. – UTUSAN ONLINE











