KUALA LUMPUR 28 April- Seorang pendakwah bebas direman polis selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung sebuah video di laman YouTube yang didakwa mengandungi kenyataan berunsur penghinaan terhadap agama Hindu.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, lelaki berusia 34 tahun yang ditahan di Arau, Perlis itu direman bermula hari ini sehingga 1 Mei depan.
Menurut beliau, setakat ini, pihaknya telah menerima sebanyak 790 laporan polis dari seluruh negara berhubung video yang dimuat naik dalam YouTube Info Sunnah Kelantan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian dan lain-lain.
“Kita juga sedang mengesan pemilik akaun YouTube Info Sunnah Kelantan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Abdul Hamid berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi untuk memuat naik atau berkongsi apa jua bentuk provokasi yang boleh membangkitkan ketegangan kaum dalam masyarakat berbilang agama dan bangsa di negara ini.-UTUSAN ONLINE











