KUALA LUMPUR 27 April – Pelumba cilik, Hayden Haikal melakar kejutan besar dengan meraih kemenangan pertama di dalam perlumbaan Cabaran Toyota Vios bagi kelas Sporting yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.
Bermula di grid kedua, pelumba berusia 14 tahun itu bermula cemerlang apabila berjaya memintas Kenneth Koh dari Panglima City Racing Team pada selekoh pertama perlumbaan sebelum membuat pecutan untuk menjarakkan diri bagi meraih kelebihan tujuh saat mengatasi pesaing terdekatnya.
“Saya melakukan permulaan yang baik tetapi sejujurnya saya begitu gemuruh. Saya sangat risau melakukan kesilapan, namun, akhirnya semua berjalan lancar.
“Ia adalah satu perasaan yang luar biasa untuk memenangi perlumbaan kereta pertama dan sudah pasti saya lebih selesa belumba di atas litar kerana saya boleh memecut lebih laju di selekoh,” kata bekas juara dua kali go-kart Cabaran Rotax Max Malaysia itu.
Bagi kelas Super Sporting, Syafiq Ali dari pasukan M7 Racing Team meraih kemenangan di perlumbaan pertama mengatasi Alif Hamdan (Laser Motor Racing) di kedudukan kedua dengan perbezaan 6.8 saat (s).
Alif kemudiannya dikenakan penalti 10s dan terpaksa akur di tangga ketiga, manakala, kedudukan kedua menjadi milik Freddie Ang (Telagamas Toyota).
Saingan melibatkan selebriti tanah air dalam kelas Promotional menyaksikan, Aiman Tino muncul juara dalam perlumbaan pertama mengatasi Diana Danielle di kedudukan kedua dan Akim Ahmad di tempat ketiga, manakala, Nabil Ahmad sekadar menamatkan saingan di tangga ketujuh. – UTUSAN ONLINE
KEPUTUSAN: LUMBA 1, PUSINGAN 4, 27 April 2019 di Sepang International Circuit
SUPER SPORTING CLASS
1. Syafiq Ali M7 Racing Team
2. Freddie Ang Telagamas Toyota
3. Alif Hamdan Laser Motor Racing
4. Boy Wong ST Wangan Racing Team
5. Keifli Othman Team Nanoplus
SPORTING CLASS
1. Hayden Haikal Prodigy Racing
2. Kenneth Koh Panglima City Racing Team
3. Eric Yong ST Wangan Racing Team
4. Brendon Lim Tedco Racing
5. Clement Yeo Distinctive Model
PROMOTIONAL CLASS
1. Aiman Tino
2. Diana Danielle
3. Akim Ahmad
4. Khai Bahar
5. Wany Hasrita











