JOHOR BAHRU 23 April – Habib Jewels Sdn. Bhd. (Habib) hari ini membuka cawangan ke-30 mereka di The Mall Midvalley Southkey di sini, pusat beli-belah bersepadu terbesar di selatan tanah air.
Pengarah Urusan Kumpulan Habib, Datuk Seri Meer Habib berkata, pembukaan kedai yang kedua di negeri ini merupakan salah satu pelan syarikat untuk memperluaskan dan memperkukuh perniagaan Habib di sini.
Serentak dengan pembukaan itu, tambahnya, Habib buat pertama kali memaparkan koleksi 2019 yang terbaharu selain menawarkan pelbagai promosi sempena Festival Berlian di premis di Midvalley Southkey sehingga 30 April.
“Kami sangat gembira dengan pembukaan cawangan terbaharu ini, ia membolehkan kami memenuhi permintaan pelanggan setia barangan kemas Habib dan pada masa sama, menarik pelanggan baharu termasuk dari Singapura.
“Johor merupakan satu lokasi yang sangat strategik untuk Habib dan kami yakin ia mampu menyumbang kepada pertumbuhan syarikat,” katanya selepas merasmikan pembukaan premis Habib di The Mall Midvalley Southkey di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan Pandora Malaysia dan Brunei, Datin Seri Zarida Noordin. – UTUSAN ONLINE.











