PELABUHAN KLANG – Empat pemancing termasuk dua adik- beradik terselamat selepas dilaporkan hilang ketika keluar merawai ikan kelmarin di Perairan Selatan Tanjung Mahang, Pelabuhan Barat di sini.
Mereka adalah Mohd. Faisol Romle dan adiknya, Muhammad Firdaus, masing-masing berusia 38 dan 25 tahun bersama dua lagi rakannya Mohd. Amirul Adli Khairi, 25 dan Nazarudin Isa, 48.
Kesemua tiba di Jeti Sungai Kembong, Pulau Indah di sini dengan menaiki bot mereka kira-kira pukul 8 malam tadi.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Klang, Samsol Maarif Saibani berkata, keempat-empat pemancing itu didapati dalam keadaan agak lemah berikutan sudah berada di laut lebih 24 jam.
Kata beliau, bot dinaiki mereka itu telah hanyut di celah-celah pulau yang jaraknya kira-kira 7.5 batu nautika dari jeti terbabit.
“Mereka terselamat selepas bertemu dengan sebuah bot nelayan lain yang berada berhampiran kawasan tersebut.
“Bot nelayan tersebut telah menunda bot dinaiki mangsa ke Pulau Ketam sebelum mereka membeli bateri dan pulang ke jeti ini (Jeti Sungai Kembung, Pulau Indah),” katanya ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Jelas beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada pukul 8.08 malam dan kesemua mangsa pulang ke rumah masing-masing.
Terdahulu, Maritim Malaysia (APMM) dalam satu kenyataan melaporkan empat orang nelayan dikhuatiri hilang di perairan Selatan Tanjung Mahang, Pelabuhan Barat di sini kelmarin selepas bot gentian kaca yang dinaiki mereka mengalami masalah enjin.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu kira-kira pukul 9.40 malam kelmarin selepas rakan mangsa yang membuat pencarian gagal menemui mangsa.
Susulan itu, beberapa aset APMM Selangor dibantu aset dan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang dan Sungai Pinang serta anggota daripada Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang. – K! ONLINE











