KUALA LUMPUR 4 April – Orang ramai dialu-alukan untuk hadir memeriahkan ekspo ‘World Landscape Architecture Month’ (WLAM) 2019 di Taman Awam Padang Jenjarum, Bukit Beruntung, Hulu Selangor, Sabtu dan Ahad ini.
Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) memaklumkan, ekspo anjuran American Society of Landscape Architects (ASLA) itu diadakan bersempena Hari Senibina Landskap Antarabangsa yang disambut pada bulan April setiap tahun.
Katanya, ekspo kali keempat yang bermula pada pukul 7 pagi hingga 11.30 malam itu turut mendapat kerjasama International Federation of Landscape Architects (IFLA) yang menghubungkan arkitek landskap dan organisasi lain.
“Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung antaranya Langkah Alam WLAM, senamrobik bersama GO PLAY, mewarna dan menyusun Jigsaw Puzzle.
“Turut diadakan WLAM Selfie, Open Slide, Fun Netball, Fun with AXIATA, Open Air Movie Screen, Cyber Games serta pertandingan gubahan pasu dan karaoke Malam Suara Alam,” menurut MDHS dalam kenyataan akhbarnya di sini.
Selain itu, MDHS turut membuka penyertaan kepada semua peringkat umur untuk menyertai Kejohanan Sukan WLAM antaranya pertandingan bola jaring, sepak takraw dan Fun Penalty Shoot-out.
Terdapat juga pertandingan yang diadakan lebih awal iaitu Pertandingan Reka Bentuk Landskap peringkat institusi pengajian awam dan swasta serta pertandingan Fotografi Terbuka.
Maklumat lanjut boleh menghubungi terus Jabatan Landskap MDHS di talian 03-6064 1726. – UTUSAN ONLINE










