PUTRAJAYA 23 April – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini menafikan dakwaan mengenai 4,500 ekar tanah di sepanjang projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan diberikan secara percuma kepada China Communications Construction Company Ltd. (CCCC).
Katanya, ECRL diteruskan dengan perjanjian lebih baik iaitu kos dikurangkan kepada RM44 bilion daripada RM65.5 bilion sebelum ini.
“Saya tidak dimaklumkan mengenai 4,500 ekar diberikan secara percuma. Saya tidak fikir itu betul kerana melihat kepada kontrak, jika terdapat sebarang tambahan, ia perlu melalui Kabinet.
“Setakat ini, kita tidak dimaklumkan mengenai apa-apa tambahan 4,500 ekar diberikan secara percuma. Saya tidak fikir begitu,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian bagi Program Kerjasama Industri antara kerajaan dan Bombardier Hartasuma Consortium, di sini hari ini.
Guan Eng berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan penulis blog, Raja Petra Kamarudin bahawa untuk diskaun sebanyak RM21.5 bilion, CCCC diberikan kira-kira 4,500 ekar tanah secara percuma di tujuh taman perindustrian yang berbeza berhampiran stesen ECRL.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan projek yang mencetuskan pertikaian mengenai kos pembinaannya oleh kerajaan terdahulu akan diteruskan dengan penjimatan sehingga RM21.5 bilion.
Pengurangan kos tersebut dicapai selepas Malaysia Rail Link Sdn.Bhd (MRL) memeterai perjanjian tambahan dengan CCCC. – UTUSAN ONLINE











