Diana Danielle muncul juara di Sepang - Utusan Malaysia

Diana Danielle muncul juara di Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 April – Acara kemuncak musim kedua Cabaran Toyota Vios menutup tirai hari ini dengan pemahkotaan tiga juara baharu dalam kelas Super Sporting, Sporting serta Promotional, masing-masingnya bagi pelumba profesional, amatur dan selebriti di Litar Antarabangsa Sepang.

Aktres terkenal tanah air, Diana Danielle paling mencuri tumpuan apabila muncul pemandu wanita pertama menjuarai perlumbaan kelas Promotional selepas mengetepikan cabaran hebat dua penyanyi popular, Aiman Tino dan Akim Ahmad.

Bagi saingan kelas utama, Super Sporting, biarpun beraksi dengan berhati-hati, namun taktikal yang tepat ketika mengharungi dua perlumbaan terakhir musim ini sudah memadai untuk menobatkan Boy Wong Yew Choong sebagai juara keseluruhan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pemandu pasukan ST Wangan Racing itu menamatkan Perlumbaan 1 semalam di tangga ketiga, sebelum melepasi garisan penamat Perlumbaan 2 hari ini di tempat ketujuh, sekali gus dinobat sebagai juara keseluruhan.

William Ho dari pasukan Kegani Racing muncul naib juara manakala Brendan Paul Anthony dari Dream Chaser menamatkan saingan empat pusingan semusim itu di tempat ketiga.

Dalam kelas Sporting, Brendon Lim dari pasukan Tedco Racing muncul juara keseluruhan dengan hanya satu mata mengatasi pencabar utama, Eric Yong dari ST Wangan Racing manakala tempat ketiga milik Kenneth Koh dari Panglima Citu Racing.

 

Musim kedua Cabaran Toyota Vios melibatkan empat pusingan di empat lokasi berbeza seluruh Malaysia.

“Ia musim kedua yang berjaya buat kami, dan saya gembira untuk menyatakan penjenamaan Toyota Gazoo Racing telah menjana kesedaran besar,” kata Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama dalam satu kenyataan akhbar hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×