Bersedia hadapi cabaran berita palsu era teknologi 5G - Utusan Malaysia

Bersedia hadapi cabaran berita palsu era teknologi 5G

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU – Agensi-agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) disaran agar bersedia menghadapi pelbagai cabaran termasuk ancaman penyebaran berita palsu dalam arus Teknologi Mudah Alih Generasi-5 (5G).

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KKMM, Shakib Ahmad Shakir berkata, pengamal media turut digesa memanfaatkan penggunaan teknologi 5G itu dalam memperincikan pelbagai maklumat sekaligus membendung penyebaran berita palsu.

“5G atau 4G sebenarnya penyampaian berita palsu masih boleh berlaku cuma 5G ini ia lebih cepat dan boleh percepatkan proses kerja kita jadi apabila sesuatu perkara itu dipercepatkan maka berita palsu yang disampaikan akan lebih cepat disebarkan berbanding sebelum ini. Jadi peranan kita, kita akan dipertingkatkan untuk menangani cabaran ini,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Perhimpunan Bersama Agensi KKMM di Auditorium Kompleks Penerangan dan Penyiaran Sultan Iskandar sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Shakib turut mengingatkan semua kakitangan jabatan dan dan agensi KKMM antaranya Radio Televisyen Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), supaya turut memainkan peranan  masing-masing dalam menyampaikan  maklumat sahih  dan tepat kepada masyarakat di negara ini.

“Ancaman berita palsu yang tersebar menerusi ledakan teknologi disalahguna oleh pihak-pihak tertentu jadi di sinilah kita memainkan peranan menyampaikan maklumat yang tepat kepada mereka (masyarakat),” beliau berkata.

Tegasnya, masyarakat juga perlu sedar penyebaran atau perkongsian berita palsu merupakan suatu kesalahan yang boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini