KEBAJIKAN komuniti pribumi di negara ini boleh dianggap terjaga dengan peranan aktif yang dimainkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar. Antara lainnya, Jakoa berperanan untuk membantu menghapuskan kemiskinan, dan menambahbaik taraf sosioekonomi, pendidikan, dan kesihatan komuniti Orang Asli secara amnya.
Bagaimanapun, sumbangan komponen lain dalam masyarakat masih diperlukan dalam memperkasa apa juga inisiatif yang telah disusun oleh Jakoa. Atas kesedaran ini, sekumpulan 35 sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Malaya (UM) telah meluangkan masa bersama komuniti Orang Asli di Kampung Sungai Tonggang, Tanjung Rambutan, Perak.
Pengarah program, Nur Syazwanis Mat Zaimi, berkata, objektif utama penganjuran program tahunan ini adalah penyediaan platform yang kondusif untuk mahasiswa menyantuni masyarakat Orang Asli yang sering dilihat terpinggir dari arus kemodenan. Sebagai pelapis pemimpin masyarakat akan datang, golongan mahasiswa amat digalakkan untuk sentiasa bersedia mendampingi setiap lapisan masyarakat.
“Kelebihan pengalaman berada di institusi pengajian tinggi contohnya, sudah memadai untuk dikongsi bersama dalam membantu usaha Jakoa menambah baik taraf pendidikan mereka,” katanya yang merupakan mahasiswa tahun ketiga dalam kenyataan kepada Mega Rona.
Program yang dinamakan Regain Experience Asli’s Life (REAL) ini telah diadakan sejak 2012 di pelbagai lokasi perkampungan Orang Asli di seluruh negara.
Menariknya, penganjuran REAL kali ini turut mengadakan demonstrasi masakan daripada kedua-dua belah pihak. Penduduk kampung telah menunjukkan cara-cara penyediaan nasi dan ayam yang dimasak menggunakan buluh, manakala sukarelawan pula mengadakan demonstrasi masakan barat iaitu spaghetti bolognese. Kedua-dua juadah itu menjadi tarikan utama dalam majlis jamuan yang disertai hampir keseluruhan penduduk kampung.
Berbeza dengan penyediaan lemang yang menggunakan daun pisang dan santan, tradisi penyediaan nasi di dalam buluh ini menggunakan daun lerek (Phrynium pubinerve blume). Beras yang sudah dibasuh dibungkus ke dalam daun lerek, dan beberapa bungkusan daun ini kemudiannya dimasukkan ke dalam buluh yang telah dipotong mengikut ruas, bersama air yang mencukupi.
“Masakan ayam pula hampir serupa, hanya tidak menggunakan daun lerek, dan dimasukkan air. Ayam yang dipotong kecil telah diperap menggunakan ramuan khas, dan dimasukkan ke dalam buluh. Setiap batang buluh ini kemudiannya disandarkan di sebelah api, sama seperti proses memasak lemang. Setelah hampir dua jam, proses memasak selesai dan juadah boleh dihidangkan. Menariknya, masakan ayam tadi tetap mempunyai kuah, dan teksturnya lembut, walaupun tidak dimasukkan air sebelum dimasak,” kata Nur Syazwanis yang turut bersama penduduk kampung menyediakan juadah.
Beliau menambah: “Kelainan pertama yang kami bawa adalah perkongsian mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar, di mana kami telah mengadakan aktiviti gotong-royong pembersihan bersama penduduk kampung. Walaupun kelihatan mudah, sukarelawan telah dibekalkan dengan maklumat mengenai kepentingan penjagaan kebersihan diri dan persekitaran rumah bagi mengelakkan kemudaratan penyakit berjangkit.”
Sementara itu, pensyarah kanan Akademi Pengajian Melayu UM merangkap Pengetua Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, Dr. Mohd. Effindi Samsuddin, berkata, program anjuran mahasiswa dari Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, UM itu sentiasa disokong kuat oleh Jakoa, dan turut menerima kerjasama daripada pelbagai pihak dan agensi.
“Saya melihat potensi REAL sebagai medan loncatan paradigma untuk kedua-dua belah pihak. Ini kerana manfaatnya yang berjangka panjang dan tidak terhenti di pengakhiran program. Interaksi secara langsung antara kanak-kanak dan belia di perkampungan ini dengan mahasiswa UM bakal menjadi pencetus kepada kisah-kisah kejayaan mereka pada masa akan datang,” katanya.
Menurutnya, selain aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang lazim seperti perkongsian akademik, sukan rakyat, dan persembahan kebudayaan, penganjuran REAL memfokuskan kepada aktiviti yang berteraskan interaksi dua hala.
“Program sebegini secara langsung dapat membina semangat cintakan masyarakat yang diakui sangat berkesan dalam penggilapan sahsiah diri mahasiswa. Tidak dapat tidak, seseorang graduan pasti akan menyertai masyarakat pada satu masa kelak. Saya pasti REAL mampu menjadi platform untuk mereka melihat hasil positif yang boleh dicapai pada kedua-dua belah pihak, jika sesuatu inisiatif itu dimulakan dengan didasari oleh perasaan prihatin,” kata Dr. Mohd. Effindi lagi.
Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Jakoa Daerah Kinta dan Kampar yang turut menyertai program itu, Mohd. Sabri Md. Sukri, berkata, pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama sebegini, terutamanya daripada golongan mahasiswa.
“Secara tidak langsung, usaha mereka sangat membantu jabatan dalam mencapai objektif yang telah tergaris, terutamanya dari aspek peningkatan taraf pendidikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











