Bapa, anak maut kemalangan bertembung sesama sendiri - Utusan Malaysia

Bapa, anak maut kemalangan bertembung sesama sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JITRA 28 April – Seorang wanita bukan sahaja kehilangan ketua keluarganya, namun anak mereka turut ‘pergi’ bersama-sama selepas kedua-duanya maut dalam kemalangan setelah motosikal ditunggang masing-masing bertembung sesama sendiri, malam tadi.

Dalam kejadian pada pukul 9.45 malam di Jalan Stesen Keretapi, Kampung Jeram di Tunjang di sini, Ahmad Tarmizi Kadir, 50, maut di tempat kejadian selepas motosikal ditunggang bersama sepupunya bertembung dengan motosikal ditunggang anaknya, Muhammad Akhmal, 16.

Muhammad Akhmal yang tercampak ke dalam sawah berhampiran disahkan meninggal dunia sebaik sahaja tiba di Unit Kecemasan Hospital Jitra di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dalam kejadian itu, tiga lagi mangsa mengalami kecederaan ringan iaitu sepupu kepada Ahmad Tarmizi, Mohd. Ridzuan Fadzil, 28.

Kemalangan
BEBERAPA bahagian motosikal yang pecah akibat kemalangan membabitkan tiga buah motosikal dalam kemalangan di Jalan Stesen Keretapi, Kampung Jeram di Tunjang, Kedah, semalam. – UTUSAN ONLINE

Selain itu, seorang wanita berusia 40 tahun yang menaiki motosikal ketiga bersama anak perempuannya kerana tidak sempat mengelak kemalangan itu.

Isteri Ahmad Tarmizi, Rosmima Harim, 49, berkata, suaminya keluar dari rumah bersama seorang sepupu dengan menaiki motosikal jenis Modenas Kriss selepas solat Maghrib disusuli Muhammad Akhmal yang menunggang motosikal jenis Honda Wave.

“Muhammad Akhmal yang merupakan anak keempat daripada lima beradik sempat membancuh air sirap untuk saya dan saya juga temankan arwah makan malam sebelum dia keluar ke kedai untuk membeli kad prabayar.

“Sebaik sahaja tiba ke tempat kejadian, saya terduduk apabila melihat jasad suami yang telah ditutup dengan kain dan hati bertambah pilu setelah tidak lama kemudian dimaklumkan anak telah menghembuskan nafas terakhir ketika saya menunggu jenazah suami di bilik mayat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Timbul, hari ini.

Rosmima Harim menunjukkan gambar suami dan anak lelakinya.ROSMIMA HARIM menunjukkan gambar suami dan anak lelakinya. – UTUSAN ONLINE

Rosmima yang berniaga nasi lemak berkata, arwah suaminya ada menunjukkan perubahan pelik sejak seminggu lalu apabila kurang bercakap seperti kebiasaan, manakala anaknya pula meminta dia tidak bekerja sepanjang Ramadan ini.

“Anak seorang yang rajin dan dia bekerja membantu peniaga pasar malam, malah Ramadan kali ini dia bercadang membantu menjual air di bazar Ramadan termasuk mahu memberi RM10 setiap hari kepada saya hasil upah itu.

“Dia juga sempat memberitahu ingin membeli baju raya berwarna biru laut tahun ini tetapi hasratnya itu tidak kesampaian,” katanya yang reda dengan pemergian mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Ismail Ibrahim berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang remaja itu tiba-tiba memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan motosikal ditunggang bapanya.

“Sebuah lagi motosikal dinaiki seorang wanita dan kanak-kanak perempuan gagal mengelak lalu melanggar motosikal Ahmad Tarmizi sebelum terbabas ke bahu jalan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini