LONDON 28 April – Arsenal terus ditimpa kekalahan kali ketiga berturut-turut apabila tewas 0-3 kepada Leicester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium King Power, sebentar tadi.
Terdahulu, skuad bimbingan Unai Emery tewas 2-3 kepada Crystal Palace, diikuti kekalahan 1-3 dengan Wolverhampton Wanderers sekali gus merencat peluang mereka untuk meraih slot Liga Juara-Juara (UCL) musim depan apabila bersaing sengit dengan Chelsea.
Berbaki dua perlawanan lagi, Chelsea berpeluang menjarak mata dengan Arsenal sekiranya berjaya menundukkan Manchester United malam ini.
Dalam aksi di laman sendiri, skuad Brendan Rodger mempamerkan aksi bertenaga apabila melakukan serangan bertali arus ke kubu pelawat.
Penguasaan tuan rumah lebih ketara apabila The Gunners terpaksa bermain 10 orang apabila pemain tengahnya, Ainsley Maitland-Niles dilayangkan kad merah selepas mengutip dua kad kuning masing-masing pada minit kelapan dan ke-36.
Bagaimanapun, Leicester terpaksa menunggu sehingga minit ke-58 untuk memperolehi gol pertama menerusi tandukan Youri Tielemans.
Penyerang sensasi tuan rumah, Jamie Vardy menggandakan jaringan pada minit ke-86, disusuli gol kedua peribadinya pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan selesa buat skuad kendalian Rodger.
Sejak Rodger mengambil alih pasukan, The Foxes berjaya melakar lima kemenangan daripada lapan perlawanan sekali gus berada dikedudukan kelapan liga dengan 51 mata. – AGENSI











