6 bot nelayan Vietnam ditahan Maritim Malaysia, nilai rampasan RM6 juta - Utusan Malaysia

6 bot nelayan Vietnam ditahan Maritim Malaysia, nilai rampasan RM6 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 28 April – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan enam bot nelayan Vietnam bersama 63 awak-awak berusia 15 hingga 59 tahun dalam operasi khas selama dua hari pada Khamis lalu yang melibatkan nilai rampasan RM6 juta.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kesemua nelayan ditahan di kedudukan 283.3 kilometer dari muara Kuala Terengganu tidak memiliki dokumen perjalanan sah di samping dua bot terakhir disyaki bot klon menggunakan nombor pendaftaran tempatan.

Katanya, bot pertama dan kedua yang masing-masing membawa sembilan nelayan ditahan pada pukul 7.30 pagi dan 10.30 pagi diikuti bot ketiga (lapan nelayan) dan bot keempat bersama lima nelayan ditahan pada pukul 4.01 petang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Penahan kali ini adalah terbesar tahun ini dengan nilai rampasan dianggarkan RM6 juta membabitkan 1,700 kilogram ikan campur, 1,300 kilogram ikan baja, 80 kilogram sotong kering dan juga 7,000 liter diesel.

“KM Pekan terpaksa mengejar selama dua jam sebelum berjaya memintas dan menahan bot pertama. Sikap degil tekong bot berkenaan yang enggan berhenti menyebabkan KM Pekan terpaksa melepaskan tembakan amaran ke udara bagi menghalang mereka lari,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Muhammad Suffi, ekoran kejayaan menahan bot pertama membolehkan KM Pekan menjejaki lima bot lain de­ngan tekong bot kelima dikesan memiliki diari iaitu rekod catatan mengenai nama-nama aset membabitkan kapal Maritim Malaysia yang sentiasa membuat rondaan di perairan Laut China Selatan.

Katanya, keadaan itu jelas menunjukkan pergerakan aset Maritim Malaysia sentiasa diawasi oleh bot-bot nelayan asing sebelum mereka meloloskan diri ke perairan antarabangsa sebaik mengesan kehadiran penguat kuasa di kawasan berhampiran pencerobohan.

Beliau berkata, setakat bulan ini, Maritim Malaysia Terengganu telah memeriksa sebanyak 533 buah vesel dengan 32 daripadanya membabitkan rampasan sebanyak RM32 juta di samping 240 nelayan Vietnam telah dimasukkan ke lokap.

“Kes-kes mahkamah yang selesai berjaya memperoleh hasil denda sebanyak RM2.34 juta dan kos penahanan bot seba­nyak RM350,000,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini