BERPELUANG menjejakkan kaki ke negara luar memberi pelbagai pandangan dan gambaran kepada penulis.
Merasai kelainan persekitaran seperti suhu lebih sejuk, limpahan manusia berlainan warna kulit dan bangsa, kepelbagaian makanan, keindahan alam mempesona serta perbezaan waktu siang dan malam, ternyata lain daripada kebiasaan.
Benar, semuanya mengajak kita untuk merenung seketika betapa besarnya kekuasaan Ilahi mencipta dan menggerakkan alam.
Islam sendiri menggalakkan umatnya untuk melakukan penghijrahan atau melawat negara asing supaya kita semua mampu melihat dunia.
Mereka yang berjalan ke negara asing bukan bererti kaya dan banyak duit, sebaliknya pelbagai ibrah sepanjang perjalanan boleh dihayati.
Ini sebagaimana firman Allah maksudnya: “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula.” (al-Mulk: 15)
Ini cukup memberi kefahaman kepada kita bahawa dunia ini merupakan satu hamparan luas terbentang yang perlu diteroka oleh sekalian manusia.
Meminjam hikmah firman Allah itu, sekumpulan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mewakili Kelab Debat baru-baru ini menganjurkan lawatan ilmiah Global Islamic Student Outreach (GISO) ke bumi Taiwan.
Lawatan tersebut merupakan antara aktiviti bagi melatih mahasiswa untuk menyumbang bakti sama ada dalam bentuk kerohanian, bantuan kemanusiaan, malah perkongsian ilmu akademik.
Berpeluang solat jenazah
Kumpulan mahasiswa tersebut yang terdiri daripada 26 pelajar berlainan bidang pengajian memulakan perjalanan menuju ke beberapa lokasi penting dan bersejarah bagi melengkapkan tujuan lawatan mereka.
Pelbagai aktiviti dilakukan sehingga tanpa disedari detik masa bergerak memasuki waktu petang. Rombongan memutuskan untuk singgah menunaikan solat di Grand Taipei Mosque yang terletak bertentangan dengan Taman Da’an.
Ketibaan mereka penuh keterujaan, manakan tidak kerana sepanjang perjalanan inilah satu-satunya masjid yang dilihat tersergam indah sebagai simbolik kehadiran masyarakat Islam di negara itu.
Usai solat, mereka dikhabarkan bahawa jenazah seorang lelaki akan dibawa ke masjid tersebut untuk disembahyangkan. Siapa sangka, inilah dikatakan ganjaran Allah yang hadir dalam bentuk ruang dan peluang untuk mereka turut serta membina saf menunaikan solat jenazah.
Bagi mahasiswa USIM, peluang tersebut juga satu amalan dan sumbangan bakti sesama Muslim meskipun langsung tidak mengenali si mati dan keluarganya.
Empat kali takbir dan berakhir dengan salam serta doa ringkas oleh imam, pelajar USIM turut mengangkat jenazah lelaki tersebut keluar dari masjid untuk dibawa ke dalam kenderaan jenazah.
Kagum. Itulah keadaan dan pandangan sebenar yang mereka rasai apabila melihat keprihatinan masyarakat Islam di sana menguruskan jenazah.
Lebih-lebih lagi apabila kenderaan jenazah adalah model kereta mewah.
Bukan soal mewahnya kenderaan tersebut, tetapi soal kebajikan diperuntukkan bagi urusan kematian masyarakat Islam yang harus diberi pujian tinggi.
Peserta lawatan, Muhammad Iskandar Zulkarnain Shamsul Bahar, 22, ketika berpeluang mendekati keluarga si mati mendapat tahu lelaki itu tinggal sendirian tanpa waris.
“Keluarga yang datang bersama semasa solat jenazah hanyalah keluarga angkat si mati. Apabila mereka tahu lelaki itu meninggal dunia, mereka terus hubungi masjid untuk uruskan jenazah kerana mereka tahu bapa angkat mereka adalah seorang Islam.
“Semua perbelanjaan urusan jenazah ditanggung ahli keluarganya. Tetapi, saya kurang pasti sama ada keluarga angkat si mati Islam atau tidak,” katanya.
Inilah dikatakan hadiah musafir daripada Allah yang tidak pernah dirancang dan diduga.
Apatah lagi berpeluang menunaikan solat jenazah saudara seagama di bumi Taiwan yang ganjaran pahalanya amat besar.
Sebagaimana sabda Rasulullah maksudnya: “Sesiapa mengiringi jenazah seorang Muslim, kerana iman dan mengharapkan balasan dan dia bersama jenazah tersebut ketika disolatkan dan sehingga selesai dari penguburannya, maka dia pulang dengan membawa dua qirat, setiap qirat setara dengan gunung Uhud (satu pahala yang besar). Dan siapa menyembahyangkannya dan pulang sebelum dikuburkan maka dia pulang membawa satu qirat.” – Riwayat Bukhari
Berbudi di rumah Allah
Sebelum bergerak ke destinasi seterusnya, rombongan mahasiswa itu mengambil peluang mengemas dan membersihkan rumah Allah tersebut.
Golongan Muslimat membersihkan ruangan solat perempuan di aras dua manakala Muslimin mengemas ruangan solat lelaki di bahagian bawah.
Walaupun tidak ditemani ahli jawatankuasa masjid terbabit, mereka memanfaatkan masa persinggahan tersebut untuk berbakti di rumah Allah itu.
Bukan bermaksud masjid tersebut tidak dihuni, tetapi jumlah jemaah yang memenuhi seruan dan panggilan azan amatlah kecil.
Kitab-kitab lama yang ditulis dalam bahasa Mandarin seakan terbiar tanpa diselak sebagai rujukan harian.
Mengepalai aktiviti mengemas masjid tersebut, Muhammad Aizudin Radthuan, 21, memberitahu, mereka dengan sendirinya rasa terpanggil melakukan amal terbabit meskipun pada awalnya hanya singgah seketika bagi menunaikan solat jamak.
“Tiada dalam perancangan, ini adalah inisiatif kami sendiri untuk bergotong-royang mengemas masjid.
“Alhamdulillah, kami rasa kemanisan beramal di negara asing. Walaupun berbeza negara, namun mereka tetap berimankan Allah yang Esa,” jelasnya.
Antara aktiviti sempat dilakukan seperti mengemas kitab dan al-Quran, menyedut habuk karpet masjid, menyusun selipar wakaf serta mengemas sejadah dan telekung untuk kegunaan jemaah.
Tambah Muhammad Aizudin yang juga mahasiswa Fakulti Undang-undang dan Syariah USIM, mungkin apa dilakukan itu adalah perkara biasa, namun ibrah serta kenikmatan menabur bakti di bumi asing lebih dirasai.
“Insya-Allah dengan sumbangan kecil yang kami tinggalkan di Grand Taipei Mosque ini akan memberi 1,001 makna untuk jemaah di sini.
“Bukan balasan yang dipinta, namun cukuplah dengan rasa syukur kepada Allah yang menghantar kami ke sini untuk merasai dan melihat sendiri bagaimana saudara se-Islam kita yang hidup sebagai golongan minoriti tetap teguh menghidupkan ajaran Allah dan sunah Rasulullah,”ujarnya.
Pelbagai aktiviti lain seperti santunan nurani, silang budaya, pertukaran ilmu serta diskusi kepimpinan dijalankan dalam program tersebut.










