KUALA LUMPUR 1 Mac – Satu lagi sejarah bakal tercipta dalam arena politik negara apabila UMNO dan Pas mencapai kata sepakat untuk menubuhkan jawatankuasa perunding peringkat tertinggi dalam usaha membentuk penyatuan ummah.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, jawatankuasa tersebut terdiri daripada 11 anggota UMNO diketuai Timbalan Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamed Hasan dan 11 anggota Pas diketuai Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
“Turut menyertai jawatankuasa ini ialah Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Ketua Muslimat kedua-dua parti. Mesyuarat atau pertemuan pertama kedua-dua pihak ni akan berlangsung pada pukul 3 petang Selasa ini.
“Di pihak UMNO, jawatankuasa ini turut dianggotai oleh beberapa ahli Mesyuarat Kerja Tertinggi (MKT) termasuk Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, langkah penyatuan dan solidariti ummah itu dilihat sebagai inisiatif merentas sentimen politik dan wajib dilakukan apabila melihat senario politik semasa yang cukup mengecewakan rakyat. – UTUSAN ONLINE










