KUALA LUMPUR 1 Mac.- Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menegaskan tiada lagi ruang untuk Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) mengemukakan rayuan kedua, sekali gus hukuman menyingkirkan pasukan itu daripada Liga Malaysia (Liga M) 2019 adalah muktamad.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam, menjelaskan tiada asas buat PFA mengemukakan rayuan kali kedua kerana mereka sudah diberi ruang untuk mengemukakan dokumen sokongan kewangan selepas hukuman menyingkirkan Perlis daripada Liga Perdana musim ini diumumkan pada 20 Februari lalu.
“Kita perlu nyatakan bahawa mengikut peraturan perlembagaan MFL yang sedia ada memang tidak ada ruang untuk rayuan kedua. Jadi kita perlu menegaskan bahawa apa-apa dokumen yang akan dihantar semula tidak mengubah keputusan kerana ia sudah muktamad.
“Keputusan telah pun dicapai oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL semalam selepas PFA mengemukakan dokumen sokongan kewangan bagi proses rayuan selama tujuh hari sejak keputusan pembatalan penyertaan Perlis.
“Keputusan ini diambil kerana Perlis berdepan masalah tunggakan gaji pemain serta PFA dilihat tidak memiliki kewangan yang kukuh untuk meneruskan persaingan musim ini. Pihak MFL percaya PFA boleh mengambil positif keputusan ini untuk memperkemaskan bahagian pengurusan, menyelesaikan tunggakan gaji serta merencana perancangan kewangan lebih kukuh untuk kembali bersaing dalam Liga Malaysia selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










