Tiada catuan air di Kelantan dalam tempoh terdekat - Utusan Malaysia

Tiada catuan air di Kelantan dalam tempoh terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 1 Mac – Rakyat Kelantan tidak perlu khuatir berdepan krisis bekalan air walaupun cuaca panas dan kering melanda negara pada masa ini.

Pengarah Eksekutif Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Ab Rashid Mohd Yusoff berkata, belum ada perancangan untuk melakukan catuan air di negeri ini dalam tempoh terdekat, namun AKSB telah bersedia ke arah itu sekiranya tiada hujan dalam tempoh dua minggu akan datang.

“Sekiranya ada keperluan catuan air, AKSB akan mengemukakannya kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 655 (2006) yang hanya boleh diumum dan dilaksana selepas mendapat kelulusan SPAN,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Ab Rashid berkata, buat masa ini AKSB telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan paras bekalan air di 35 loji rawatan air di negeri ini berada dalam keadaan terkawal.

“Antara langkah yang telah diambil oleh AKSB adalah melakukan kerja-kerja selenggara dengan berkesan bagi memastikan loji beroperasi secara optimum.

Beliau berfkata meskipun berlaku penyusutan air di Sungai Kelantan, termasuk di beberapa loji antaranya Loji Kelar, Bukit Remah, Kuala Tiga, Tualang dan Manek Urai namun keadaan adalah masih terkawal.

“AKSB juga dalam perancangan untuk membina beberapa loji baharu bagi menghadapi sebarang kemungkinan dalam memastikan bekalan air yang mencukupi bagi masyarakat negeri ini, katanya.

“Loji baharu yang dalam perancangan antaranya ialah Loji Chicha II, Loji Tanjung Mas dan Loji Bukit Chupak manakala loji dalam proses pembinaan adalah Loji Tualang II yang dijangka siap September 2019 dan Loji Kg Telok Disember 2019.

Beliau turut menasihatkan kepada orang ramai, agar berjimat dan berhemah dalam penggunaan air sebagai langkah berjaga-jaga serta melaporkan kepada AKSB sebarang kebocoran yg dijumpai melalui talian 15777 atau whatsapp 019 575 5777atau aduan FB Air Kelantan Official. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN