Telaga tiub pertama hampir siap di Tupah, tampung keperluan segera air penduduk
 - Utusan Malaysia

Telaga tiub pertama hampir siap di Tupah, tampung keperluan segera air penduduk


Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 21 Mac – Sebuah daripada dua telaga tiub bawah tanah yang mampu membekalkan kira-kira setengah juta liter air sehari (MLD) atau menampung keperluan sebanyak 800 akaun penduduk telah hampir siap dibina di Tupah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, dan Tenaga negeri, Ir. Zamri Yusof berkata, pembinaan itu dilakukan dengan kadar segera sejak Isnin lalu bagi menampung keperluan mendesak penduduk di kawasan Tanjung Dawai, Bedong dan Merbok.

Kata beliau, secara keseluruhan kawasan tersebut yang terjejas teruk akibat tekanan air rendah, adalah melibatkan sebanyak 5,000 akaun pengguna iaitu 40 peratus daripada 14,000 akaun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ini disebabkan Loji Air Tupah yang sebelum ini mampu membekalkan 20 MLD bekalan air tetapi kini hanya 7.5 MLD manakala Loji Air Merbok pula daripada 3 MLD kepada 0.8 MLD sahaja.

“Setakat semalam, lubang telaga tiub bawah tanah itu selesai digali pada kedalaman 50 meter dan kita akan teruskan sehingga 100 meter kedalamannya bagi mendapat air yang berkualiti dan kekal.

“Kita juga menerusi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mengenal pasti satu kawasan lagi untuk dibina telaga tiub kedua iaitu di kawasan berdekatan (telaga tiub pertama),” katanya.

Semalam Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, kerajaan akan menggunakan air bawah tanah di Tupah dan Merbok sebagai alternatif membantu penduduk Kedah yang kini berdepan dengan masalah air bersih ekoran kejadian kemarau melampau yang sedang berlaku.

Dalam pada itu, Menurut Zamri, bagi mengatasi segera masalah penduduk terlibat, kerajaan negeri menerusi Syarikat Air Darul Aman (SADA) Sdn. Bhd. telah menyediakan sebanyak 39 buah lori air daripada pelbagai sumber termasuk menyewa.

Katanya, pihaknya juga telah memasang Loji Rawatan Air Bergerak di Tupah, berkapasiti lima meter padu air sejam, bagi menjamin air dibekalkan kepada penduduk benar-benar bersih.

“Loji ini dijangka mula berfungsi hari ini setelah selesai diperiksa Jabatan Kesihatan negeri,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini