PUTRAJAYA 28 Mac – Datuk Syed Mohd. Hasrin Tengku Hussin @ Syed Hussin dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia yang baharu ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat (AS).
Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan Syed Mohd. Hasrin menerima Surat Pelantikan daripada Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah di Wisma Putra hari ini.
Berita berkaitan:
Jawatan tersebut sebelum ini disandang oleh Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob yang kini merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Luar.
“Syed Mohd. Hasrin memulakan kerjaya beliau sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada tahun 1994 dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dari University of Arizona, Amerika Syarikat dan Ijazah Sarjana Pengurusan Awam dari National University of Singapore, Singapura.
“Sebelum dilantik sebagai Wakil Tetap Malaysia ke PBB, beliau pernah berkhidmat di Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu dan Indonesia sepanjang kerjaya diplomatik beliau,” kata kementerian tersebut menerusi kenyataan itu.
Tambah kenyataan berkenaan, Syed Mohd. Hasrin pernah menyandang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Asia Tenggara pada tahun 2014.
Jawatan terakhir beliau adalah Duta Besar Malaysia ke Emiriah Arab Bersatu. – UTUSAN ONLINE











