PULAU PINANG 11 Mac – Ada banyak cara untuk menyuntik kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan bagi kira-kira 146 murid di negeri ini, perkara itu lebih bermakna apabila dilakukan dalam bentuk program dan aktiviti mencari harta karun.
Lebih menarik, murid-murid itu bukan sahaja dapat menambah pengetahuan mengenai konsep hijau, malah turut mendapat rakan baharu dari sekolah berlainan yang menyertai program tersebut.
Pengalaman itu diperoleh murid-murid berkenaan menerusi aktiviti pencarian harta karun berkonsepkan hijau yang dianjurkan oleh syarikat hartanah terkemuka Eastern & Oriental Berhad (E&O Group) di Straits Green, Georgetown di sini hujung minggu lalu.
Program itu turut mendapat kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Think Green dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) selaku fasilitator.
Murid-murid yang terlibat di dalam program itu dipilih daripada empat buah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Tanjung Tokong; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Azad; SJK (C) Hun Bin dan SK Convent Pulau Tikus.
Mereka dibahagikan kepada 15 buah kumpulan dengan setiap kumpulan antara lapan dan 10 murid daripada sekolah berbeza sekali gus membolehkan murid berkenaan berkenalan dengan rakan baharu daripada pelbagai kaum.
Menerusi program itu, murid berkenaan diuji dari sudut pengetahuan, kekuatan fizikal dan kemahiran yang menjurus kepada konsep hijau dan kelestarian alam sekitar.
Antaranya, mereka perlu mengenal pasti spesies tumbuh-tumbuhan tertentu selain menyelesaikan tugasan atau cabaran dalam bentuk kumpulan yang bertujuan memupuk semangat kerjasama.
Menurut Pengarah Gaya Hidup dan Hospitaliti E&O Group, Michael Saxon, program itu merupakan bukti yang mana inisiatif hijau yang digerakkan Think Green dengan kerjasama syarikat berkenaan di sekolah merupakan usaha yang berbaloi dan memberi manfaat besar.
Katanya, inisiatif itu telah melahirkan murid atau generasi muda yang bukan sahaja peka terhadap kepentingan menjaga alam sekitar, malah berani dan berkeyakinan dalam menyelesaikan tugasan diberikan meskipun bersama rakan yang baharu dikenali.











