CHRIS Smalling kini menjadi tumpuan peminat bola sepak dunia selepas Manchester United diundi menentang gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona dalam suku akhir Liga Juara-Juara.
Beraksi di posisi bek tengah menjadikan Smalling orang yang bertanggungjawab untuk mengekang ‘superstar’ Barcelona, Lionel Messi daripada membolosi gawang pasukannya.
Bagaimanapun di sebalik kejayaan memberangsangkan bersama Red Devils sejak 2010, Smalling sebenarnya hampir melupakan hasrat menjadi pemain bola sepak untuk meneruskan pengajian dalam bidang kewangan.
Walaupun memiliki deretan kereta mewah, rumah besar, isteri cantik serta kontrak bernilai jutaan ringgit, namun Smalling pernah melalui pelbagai detik sukar yang membuatkannya hampir menyambung pengajian di universiti.
Dia kehilangan bapa ketika berusia lima tahun dan dibesarkan oleh ibunya, selain bergantung kepada bantuan kerajaan serta tinggal di perumahan awam.
Smalling penah digugurkan daripada pasukan remaja setempat selepas ibunya tidak mampu membayar tambang bas untuk menjalani latihan setiap hari.
Dia mahu mendapatkan wang secukupnya bagi membantu ibunya tetapi dia tidak melihat bola sepak sebagai asas yang kuat, jadi Smalling berusaha keras untuk mendapatkan sijil GCSE, A-Level bagi mendapat tempat di Universiti Loughborough bagi meneruskan pengajian dalam bidang Ekonomi Kewangan.
Ketika berusia 18 tahun dan seminggu sebelum memulakan kehidupan sebagai penuntut universiti, Smalling menerima panggilan daripada Fulham.
Panggilan itu telah merubah hidupnya.
“Semuanya adalah angan-angan sehingga saya mencapai usia 18 tahun dan hampir memasuki universiti.
“Saya telah menyertai beberapa percubaan tetapi cita-cita menjadi pemain bola sepak tidak begitu realistik, hanya impian zaman kanak-kanak.
“Saya hampir mendaftar diri di Universiti Loughborough untuk meneruskan pengajian ekonomi. Adik saya meneruskan pengajian dalam bidang itu dua tahun kemudian.
“Jika saya masuk universiti, saya tidak fikir saya akan jadi pemain bola sepak profesional,” katanya.
Semasa bergelar pelajar di Chatham Grammar School, Smalling merupakan atlet judo dan menjadi juara kebangsaan pada usia 15 tahun sebelum beralih kepada bola sepak.
Dia pernah bersama akademi Millwall sebelum menyertai Maidstone United dan beraksi dalam Liga Rayman.
Ketika ini, Smalling menjadi Penaung Football Beyond Borders (FBB) sebuah badan kebajikan yang menggunakan bola sepak sebagai landasan untuk membantu golongan remaja yang kurang bernasib baik di United Kingdom (UK).











