MOGADISHU 1 Mac – Sekurang-kurangnya 29 orang terbunuh dalam pertempuran antara tentera Somalia dan militan al-Shabaab hari ini susulan serangan bunuh diri kumpulan tersebut berhampiran Hotel Maka Al-Mukarama, di sini semalam.
Al-Jazeera melaporkan, sekurang-kurangnya 80 lagi cedera dalam kejadian berbalas tembakan yang berlaku sepanjang malam tadi hingga awal pagi ini,
Komander Polis, Mejar Musa Ali berkata, angka korban dijangka meningkat selepas kumpulan militan tersebut masih meneruskan serangan daripada rumah orang awam bersebelahan hotel.
“Setakat ini kita tahu 29 orang maut dan kebanyakannya adalah orang awam dan 80 yang lain cedera. Jumlah kematian dijangka bertambah,” katanya hari ini.
Sementara itu, jurucakap militan al-Shabaab, Abu Bakar berkata, pihaknya masih menawan hotel tersebut.
“Kerajaan sudah tiga kali cuba memasuki hotel namun kami berjaya mengusir mereka. Kami masih berjaya menawan hotel,” katanya,
Ramai lagi mangsa yang cedera, parah dan pihak hospital sedang berusaha untuk menyelamatkan mereka.
Hotel Maka Al-Mukarama yang dilindungi pegawai kerajaan sering menjadi sasaran al-Shabaab dan telah membunuh ramai orang dalam serangan sebelum ini.
Menurut saksi, Halima Omar, mereka melihat penduduk di bandar mencari saudara-mara yang hilang sepanjang malam dan membuat panggilan telefon untuk bertanya sama ada melihat anggota masing-masing.
“Saya berlari dari lokasi kejadian ke hospital untuk mencari suami dan abang yang berniaga berhampiran kawasan tersebut,” katanya. –AGENSI










