KUALA LUMPUR 2 Mac. – Pengendali Selangor, B. Satiananthan mengakui masih memerlukan sedikit masa untuk membentuk pasukan terkuat dan percaya anak-anak buahnya telah menunjukkan peningkatan.
Menurutnya, kekalahan 2-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam bukan bermakna skuad bimbingannya tidak bagus, tetapi, sedar pasukan lawan memiliki barisan pemain terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M)
“Kami bermain dengan pasukan yang kuat dan pemain sudah beri yang terbaik tetapi dua gol mudah dilepaskan sedikit sebanyak memberi kesan kepada kita.
“Namun, saya harus memuji semangat juang dan tidak putus asa yang ditunjukkan pemain apabila berjaya mengakhiri separuh masa kedua dengan kedudukan 3-2. Malah, mereka berjuang hingga tiupan wisel terakhir.
“Apa yang melucukan, setiap percubaan JDT menghasilkan gol. Jika ia kesilapan daripada penjaga gol (Khairulazhan Khalid), saya perlu bercakap secara persendirian dengannya.
Apapun secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi pemain dan perlu menumpukan kepada perlawanan akan datang bertemu Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.
Kekalahan itu pasti perit bagi Selangor yang kini belum mengecapi sebarang kemenangan dan hanya mengumpul tiga mata selepas lima perlawanan, musim ini. Empat gol JDT disempurnakan oleh Velazquez Leandro, Diogo Luis Santo dan Gonzalo Cabrera, manakala dua jaringan Selangor hasil ledakkan Endrick Dos Santos serta Rufino Segovia.











