Remaja maut motosikal rempuh kenderaan pacuan empat roda - Utusan Malaysia

Remaja maut motosikal rempuh kenderaan pacuan empat roda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON 1 Mac – Seorang penunggang motosikal berusia 19 tahun maut selepas berlanggar dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm di persimpangan lampu isyarat Sua Betong dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis daerah, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, mangsa, Muhammad Hasnizam Mohd. Rodzi menunggang motosikal jenis SYM dalam kemalangan kira-kira pukul 2.15 pagi itu.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Mitsubishi Storm dari arah Seremban menghala ke Port Dickson membelok ke kanan apabila tiba di lokasi kejadian.

“Motosikal mangsa yang datang dari arah Telok Kemang telah melanggar bahagian tepi hadapan sebelah kiri kenderaan pacuan empat roda itu menyebabkan penunggangnya terpelanting ke atas cermin hadapan sebelum jatuh di atas jalan raya,” katanya, di sini hari ini.

Aidi Sham berkata, kemalangan itu menyebabkan Muhammad Hasnizam mengalami pelbagai kecederaan di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Port Dickson untuk menjalani bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Pemandu Mitsubishi Storm berusia 34 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN