PRK Semenyih: Polis terima tujuh laporan pada hari pengundian - Utusan Malaysia

PRK Semenyih: Polis terima tujuh laporan pada hari pengundian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima tujuh laporan pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang berlangsung semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, kesemua laporan yang diterima adalah kesalahan berkaitan Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954.

“Antara yang diterima adalah di bawah Seksyen 3 AKPR 1954 kerana menghalang seseorang pengundi yang selainnya berhak untuk mengundi dalam pilihan raya dan juga laporan mengikut Seksyen 26/26A AKPR kerana batasan hari mengundi.

“Selain itu, polis turut menerima laporan berkaitan Seksyen 4A AKPR kerana mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan serta Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir, tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang tempoh proses pengundian PRK DUN Semenyih dan keadaan keselamatan adalah terkawal.

Pada hari pengundian semalam, calon Barisan Nasional (BN), Zakaria Hanafi menang selepas meraih 19,780 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya.

Zakaria menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Mohammad Aiman Zainali yang memperoleh 17,866 undi, sementara calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Nik Aziz Afiq Abdul (847 undi) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng atau ‘Uncle Kentang’ memperoleh 725 undi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN