JAKARTA 17 Mac – Calon Presiden (Capres) Indonesia nombor dua, Prabowo Subianto yakin mampu memenangi pilihan raya Presiden (Pilpres) pada April depan walaupun banyak kaji keputusan selidik menunjukkan sebaliknya.
Portal Tempo.Co melaporkan, Prabowo berkata, banyak agensi yang menjalankan tinjauan telah rosak kerana menipu rakyat.
“Tunggu sahaja pada 17 April nanti, banyak institusi kajian yang sudah rosak kerana mereka menipu rakyat sehingga kini,” katannya ketika berucap di Cipocok Jaya, Serang semalam.
Dalam pada itu, Ketua Umum Parti Gerindra berkenaan menasihatkan penyokongnya supaya tidak takut walaupun diugut kerana memberi sokongan kepada beliau.
Tanpa menyebut nama, Prabowo mendakwa seorang menteri bertindak menakut-nakutkan pekerja bawahannya kerana tidak menyokong kerajaan.
“Siapa kamu untuk menakut-nakutkan orang bawahan. Menteri, kamu dibayar rakyat jadi jangan bertindak sesuka hati,” ujarnya. -AGENSI











