Polis gempur PPR, kekang masalah jenayah - Utusan Malaysia

Polis gempur PPR, kekang masalah jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis menggempur Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar daerah Wangsa Maju dalam usaha mengekang masalah jenayah serta dadah daripada terus berleluasa di kawasan tersebut.

Operasi Cegah Jenayah yang diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, Asisten Superintenden Fazzol Abdul Razak itu melibatkan PPR Seri Semarak, PPR Desa Rejang, PPR Air Panas, PPR Gombak Setia dan PPR Chocrane.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Noor Azmi Yusoff berkata, dalam operasi bermula pukul 9 malam itu, sebanyak 11 individu berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun termasuk seorang wanita ditahan atas pelbagai kesalahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, tangkapan terdiri daripada enam warga tempatan dan lima warga asing membabitkan warga India, Indonesia serta Filipina.

“Bagi tangkapan warga tempatan, didapati seorang daripada mereka memiliki waran bersabit kes dadah, seorang dikehendaki bersabit kes dadah, manakala empat orang lagi disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Selain itu, bagi tangkapan warga asing, semakan mendapati mereka ini berada di Malaysia tanpa dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya di sini hari ini.

Noor Azmi memaklumkan, polis turut mengeluarkan sebanyak 50 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas menerusi operasi trafik hasil pemeriksaan sebanyak 298 buah kenderaan membabitkan 21 buah kereta serta 177 buah motosikal.

Tambahnya, operasi ini akan terus dilaksanakan sebagai langkah pencegahan kes curi kenderaan dan aktiviti dadah selain menyedarkan masyarakat di mana pihak polis sentiasa memantau serta membuat rondaan di kawasan PPR.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini