Pesawah desak kerajaan kembalikan subsidi baja - Utusan Malaysia

Pesawah desak kerajaan kembalikan subsidi baja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK 1 Mac – Lebih 100 pesawah di sini mengadakan perhimpunan mendesak kerajaan memberikan semula subsidi baja sepenuhnya seperti sebelum ini.

Mereka mewakili 4,270 pesawah di kawasan jelapang padi Seberang Perak di sini yang kecewa kerana tidak lagi menerima dua komponen dalam subsidi baja iaitu baja tambahan NPK dan bantuan input pertanian iaitu racun serangga dan racun rumpai.

Pesawah berkata, setakat ini mereka hanya menerima baja sebatian atau campuran dan baja urea, manakala baja tambahan NPK dan racun rumpai belum diterima.

Pengerusi Badan Bertindak Bela Petani Seberang Perak, Mohd. Razali Yahya berkata, himpunan hari ini mendesak kerajaan memberikan semula bantuan subsidi baja penuh seperti dinikmati sebelum ini.

Katanya, subsidi baja penuh penting untuk pesawah dalam memastikan hasil yang diperoleh tidak terjejas.

“Buat masa ini hanya bantuan baja urea dan baja campuran sahaja yang disalurkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani kepada kami di sini.

“Sedangkan para pesawah sudah menabur padi dan pokok padi telah berumur lingkungan 20 hari. Sepatutnya pada peringkat ini semburan racun rumpai sudah dilakukan tetapi kami tidak menerima racun rumpai.

“Selain itu baja NPK penting bagi menghasilkan isi padi yang baik dan bermutu tinggi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Pesawah, Sita Mat Jidin, 72, berkata, sebelum ini dia mengusahakan 20 ekar atau hampir sembilan hektar sawah tetapi kini tidak lagi kerana tidak menerima subsidi baja penuh.

“Saya kecewa kerana kami tidak pernah menghadapi masalah ini ketika kerajaan sebelum ini, malah awal-awal lagi kami sudah menerima subsidi baja penuh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN