KUALA LUMPUR 8 Mac – Perpustakaan Kuala Lumpur menyasarkan peningkatan sebanyak 30 peratus keahliannya pada tahun ini melalui program Bacaan Kegemaran Saya yang dilancarkan bermula hari ini.
Pustakawan Kanan Perpustakaan Kuala Lumpur, Anita Mohd Jali berkata, sasaran itu dibuat berdasarkan lima siri jelajah yang akan diadakan sekitar bandar raya ini sepanjang tahun 2019.
Beliau berkata, antara kawasan yang terlibat adalah di projek perumahan rakyat, sekolah, taman-taman awam dan sempena program Hari Bebas Kenderaan Kuala Lumpur.
“Kita akan melantik seorang wakil di sekitar kawasan berkenaan bagi membuat ulasan dan mengupas bahan bacaan yang menjadi kegemaran mereka di hadapan tetamu selain menyediakan pelbagai aktiviti menarik.
“Inisiatif itu secara tidak langsung dapat memberi inspirasi dan menarik minat orang ramai untuk membaca sekali gus mempromosikan keahlian serta bahan bacaan yang ada di Perpustakaan Kuala Lumpur, “ katanya selepas hadir ke program Bacaan Kegemaran Saya di DBKL di sini.- UTUSAN ONLINE











