ROMPIN 1 Mac – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan trend meningkat untuk pendaftaran perkahwinan dalam kalangan masyarakat Orang Asli tidak beragama selepas pengumuman pemberian Bantuan Sara Hidup (BHS) oleh kerajaan.
Ketua Pengarah JPN Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata kesedaran untuk mendaftarkan perkahwinan itu disebabkan keperluan mengemukakan sijil perkahwinan rasmi bagi mendapatkan BSH dan bantuan lain seperti membeli rumah yang ditawarkan kerajaan negeri.
Katanya, berdasarkan rekod, ada di antara permohonan mendapatkan sijil perkahwinan di bawah Ordinan Pendaftaran Perkahwinan 1952 itu melibatkan pasangan yang sudah berkahwin melebihi 30 tahun.
“Saya berharap lebih ramai pasangan Orang Asli yang berkahwin mengikut adat mendaftarkan perkahwinan mereka kerana ia bukan hanya untuk mendapatkan bantuan, tetapi juga sebagai rekod yang sah untuk kebajikan mereka.
Mereka hanya perlu mengemukakan sijil perkahwinan adat yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA), MyKad suami isteri dan daftar kelahiran anak yang asal atau salinan serta bayaran RM5 untuk permohonan ini,” katanya.
Mohammad Razin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan MyKad dan Sijil Perkahwinan Ordinan (Orang Asli) kepada enam pasangan masyarakat itu di pejabat JPN Rompin di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah JPN Pahang Julizawati Kamarudin.
Untuk tahun 2018, Mohammad Razin berkata 1,824 pasangan Orang Asli tidak beragama membuat permohonan sijil perkahwinan dengan 1,054 pasangan adalah penduduk di Pahang.
“Daerah Pekan merekodkan permohonan paling tinggi iaitu 393 pasangan pada tahun 2017 sebelum meningkat kepada 670 pada tahun lalu. Tetapi bagi tahun ini, setakat Januari sahaja kita menerima 249 permohonan.
“… ini diikuti daerah Rompin iaitu 253 pasangan (2017), 401 pasangan (2018) dan 222 pasangan setakat Jan lalu,” katanya.
Beliau menambah kesedaran untuk mendaftarkan perkahwinan secara sah agak kurang dalam kalangan Orang Asli tidak beragama sebelum ini kerana perkahwinan mereka hanya dilangsung mengikut adat.
Katanya, JPN juga bekerjasama dengan JAKOA ke perkampungan Orang Asli di kawasan pedalaman yang berkemungkinan menyukarkan mereka untuk ke bandar bagi membuat permohonan.
Sementara itu, Orang Asli daripada suku Jakun Manis Limas, 55, yang menerima sijil perkahwinannya hari ini berkata dia telah lebih 35 tahun berkahwin dengan isteri Bantin Khalin, 56, dan dikurniakan lima orang anak berusia antara 13 hingga 34 tahun.
“… dahulu kahwin hanya dihadiri orang tua kami dan tidak tahu pun yang ia perlu ada sijil. Tapi bila sudah tua, anak kata lebih mudah kalau ada sijil kerana hendak ke mana-mana senang.
Saya harap anak dan cucu juga akan mengikut contoh saya yang akhirnya mendaftar mengikut undang-undang. Mudah jika mereka hendak kerja atau mohon bantuan kerana zaman kini semuanya mahu dokumen,” katanya. – BERNAMA










