Perlis semakin parah - Utusan Malaysia

Perlis semakin parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 1 Mac – Jika sebelum ini pasukan bola sepak Perlis diberikan perhatian berikutan tunggakan gaji, kini giliran pasukan futsalnya pula mendedahkan masalah sama yang dihadapi mereka.

Ketua jurulatih skuad futsal Perlis, Qusmaini Noor Rusli mendedahkan kesemua 25 pemain dan tujuh pegawai, tidak menerima gaji sejak mereka mengikat kontrak dengan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) pada Disember dan Januari lalu.

Jumlah keseluruhan bagi tempoh dua bulan bagi 32 pemain dan pegawai tersebut adalah kira-kira RM194,800.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami turut menerima impak serupa pasukan bola sepak. Sejak pasukan diumumkan dan kami mulakan latihan pada Januari, kami tidak menerima sebarang bayaran. Hanya janji dan disediakan dengan kemudahan latihan sahaja.

“Jadi kami ambil keputusan untuk hentikan sesi latihan minggu lepas dan minta hak kami seperti dijanjikan dalam kontrak yang telah ditandatangani sebelum ini,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri oleh peguam dilantik, Mohamad Saiful Dzulhelmi Zulkifli.

Lebih parah, Qusmaini berkata skuad futsal Perlis sebelum ini telah diminta keluar dari tempat penginapan pasukan itu pada 22 Februari, manakala kali terakhir beliau berinteraksi dengan presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie adalah pada 20 Februari.

Mereka melakukan pendedahan tersebut ekoran rasa kecewa dengan ‘janji manis’ persatuan berkaitan gaji dan juga tindakan persatuan yang tidak mendaftar pasukan itu menyertai saingan Liga Perdana Futsal Malaysia (MPFL), yang berakhir hari ini.

Ekoran dari isu tersebut, pasukan futsal Perlis membuat keputusan melantik peguam bagi mengambil tindakan keatas persatuan dan presiden PFA.

Sementara itu, Mohamad Saiful Dzulhelmi berkata satu tindakan undang-undang akan diambil keatas persatuan dan juga presiden PFA berkaitan isu tunggakan gaji selama dua bulan dan juga kerugian yang terpaksa ditanggung pemain serta jurulatih, sepanjang ikatan kontrak tersebut.

“Lepas tengok kontrak, kami akan cari jalan mengenai status kontrak yang telah mereka tandatangan. Mereka tidak menerima salinan kontrak yang ditandatangan oleh persatuan. Ada yang ikat kontrak selama setahun dan ada juga dua tahun. Tindakan lanjut akan diambil selepas kami meneliti kontrak mereka sepenuhnya,” katanya.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini mengesahkan 16 pasukan akan beraksi dalam pertandingan MPFL yang akan berlangsung selama tujuh bulan dari April hingga Oktober ini. MPFL merupakan edisi sulung saingan liga futsal profesional peringkat kebangsaan bagi menggantikan Liga Futsal Kebangsaan (LFK) yang dianjurkan FAM sebelum ini. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN