REMBAU 28 Mac – Perbezaan pendapat yang berlaku dalam PKR tidak akan menjejaskan kempen parti itu dalam menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Sebaliknya, jelas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pertikaian pendapat merupakan perkara kecil yang diizinkan dalam parti itu.
“Benda kecil, kita tumpu kepada PRK, perbezaan pendapat kecil boleh, kita diizinkan. Tidak (jejaskan kempen) semua bersetuju untuk datang bagi kempen, jangan laga-lagakan lagi.
“Beza pendapat sikit okay, tapi tumpu sekarang Rantau, tumpu ekonomi saya memang konsisten bab ini, semua lain boleh, setuju selesai, tak setuju tak mengapa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Pertemuan Bersama Jentera PRK DUN Rantau di Rantau Eco Park, Kampung Kuala Sawah Pasir di sini malam ini.
Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Rantau, Dr. S. Streram.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson dalam pada itu berkata walaupun dalam perbezaan pendapat segala masalah yang dihadapi rakyat mestilah diutamakan.
“Apa penting selesai masalah rakyat, pastikan ekonomi berkembang dan kita bekerja sebagai satu pasukan,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan turut sama hadir dalam kempen PRK Rantau, Anwar memberitahu ia bergantung kepada jadual Pengerusi PH itu.
“Tun sekarang ini di Langkawi, tapi dia kata akan tengok jadual,” katanya. – UTUSAN ONLINE











