LONDON 17 Mac – Polis menahan sebilangan penonton yang didapati menceroboh masuk ke dalam padang ketika aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) Bournemouth menentang Newcastle dan aksi suku akhir Piala FA Manchester City bertemu Swansea.
Tujuh penyokong Newcastle ditahan termasuk remaja berusia 14 tahun, disyaki cuba memasuki kawasan padang ketika The Magpies terikat 2-2 menentang Bournemouth.
Difahamkan mereka melakukan serangan terhadap steward wanita yang mengalami kecederaan di hidung dan turut dipanggil untuk siasatan.
Penyokong pasukan pelawat turut meludah ke arah kawasan permainan di Stadium Vitality ketika meraikan gol penyamaan yang dijaringkan oleh pemain sayap Newcastle, Matt Richie.
“Enam lelaki dan remaja berusia 14 tahun ditahan selepas disyaki cuba memasuki kawasan padang dari kawasan tempat duduk penyokong pelawat.
“Seorang steward wanita telah mengalami kecederaan di hidung ketika insiden itu berlaku dan dia turut dipanggil bagi tujuan siasatan,” kata Polis Dorset dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Polis South Wales menahan tiga remaja bagi dua kes berasingan apabila mereka juga didapati menceroboh kawasan padang ketika Swansea tumpas 2-3 kepada City di Stadium Liberty.
“Keselamatan penyokong, pemain dan pegawai perlawanan menjadi keutamaan kami.
“Sesiapa yang menceroboh ke dalam kawasan permainan telah melanggar kesalahan jenayah dan berdepan hukuman malah boleh dikenakan larangan menonton perlawanan bola sepak. Janu ajab terus bekerjasama dengan kelab bola sepak bagi menghalang dan mencegah tindakan tidak bertanggungjawab seperti ini daripada terus berlaku,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP











