Penghuni flat terima bil air cecah RM2,000 - Utusan Malaysia

Penghuni flat terima bil air cecah RM2,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Mac – Seorang penghuni Flat Pandan Indah di sini sekali lagi dikejutkan dengan bil air mencecah RM2,000 yang dikeluarkan oleh Syarikat Bekalan Air Sdn. Bhd. (Syabas) bagi penggunaan di rumahnya.

Pesara, Nor Hasnidar Bahari, 58, berkata, caj penggunaan air yang tidak masuk akal itu pernah berlaku pada Februari tahun lalu melibatkan jumlah RM1,916.10 dan bagi bulan Februari tahun ini jumlah yang dituntut oleh Syabas adalah RM1,967.45.

Katanya, caj penggunaan yang melambung tinggi pada setiap bulan Februari itu seakan-akan berpunca daripada kesilapan sedangkan bayaran pada bulan-bulan lain tidak pernah lebih daripada RM10.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya hanya tinggal berdua dengan seorang anak. Mana mungkin bil air boleh cecah ribuan ringgit.

“Yang peliknya, perkara ini hanya berlaku pada bulan yang sama setiap tahun,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar berhubung isu itu di pejabat MCA Bahagian Pandan, Ampang, Selangor hari ini.

Nor Hasnidar berkata, dia pernah menghubungi pihak Syabas untuk memaklumkan perkara itu dan pembatalan bagi bil tahun lalu telah dilakukan.

“Namun apabila saya memaklumkan perkara sama berulang pada bulan lalu, pihak Syabas kata mungkin ada kebocoran air dan tidak pula datang membuat pemeriksaan,” katanya.

Dalam pada itu Ketua MCA Bahagian Pandan, Datuk Leong Kok Wee berkata, pihaknya mahu Syabas bertanggungjawab dan menyemak semula punca yang berlaku dan beliau sendiri akan menghubungi Syabas supaya isu itu dapat diselesaikan. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini