Pemuda UMNO, Pas bergabung anjur bantahan isu hina Nabi - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO, Pas bergabung anjur bantahan isu hina Nabi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 1 Mac – Pergerakan Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda Pas negeri ini bergabung mengadakan Himpunan Rakyat Jangan Hina Nabi Kami di luar Masjid Negeri di sini selepas solat Jumaat hari ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Datuk Mohd. Zaidy Abdul Kadir berkata, lebih 200 umat Islam menyertai bantahan itu yang berlangsung kira-kira 45 minit.

Katanya, para peserta menggesa pihak berkuasa terutamanya Peguam Negara mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.

“Kedudukan Islam termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia perlu dipertahankan daripada sebarang anasir yang cuba menimbulkan huru hara dengan melakukan penghinaan terhadap agama.

“Perbuatan menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW tidak pernah berlaku sebelum ini dan ia tidak boleh dibiarkan sewenang-wenangnya tanpa tindakan,” katanya.

Yang turut hadir, Pemangku Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha; Ketua Dewan Pemuda Pas negeri, Khairul Yazman Yahya dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Raihan Husni.

Menurut Mohd. Zaidy, sekiranya bantahan tersebut tidak diendahkan, kedua-dua pergerakan itu bersedia menganjurkan perhimpunan besar-besaran di hadapan Pejabat Peguam Negara dekat Putrajaya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN