Pelajar UMK maut, motosikal rempuh kenderaan bomba - Utusan Malaysia

Pelajar UMK maut, motosikal rempuh kenderaan bomba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI 1 Mac – Seorang pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terbunuh setelah motosikal yang ditunggangnya terlanggar sebuah kenderaan bomba di Kilometer 57.5, Jalan Alor Star-Butterworth berdekatan lampu isyarat Penjara Sungai Petani di sini, hari ini.

Berikutan kemalangan pukul 2.30 petang itu, mangsa, Farah Hani Haryani Mohd Saleh, 24, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam berkata, semasa kejadian, kenderaan bomba itu sedang dalam perjalanan untuk memadam kebakaran di Taman Keladi dekat sini.

“Sebaik sahaja sampai di tempat kejadian, motosikal jenis Honda Wave yang ditunggang oleh Fatah Hani Haryani yang datang dari arah Hospital Lama Sungai Petani telah melanggar sebelah kiri kenderaan bomba itu,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Difahamkan, Farah Hani Haryani sedang menjalani latihan praktikal di sebuah syarikat swasta di sini, setelah melapor diri pada 16 Februari lalu.

Menurut Sazalee, pemandu kenderaan bomba itu dan dua rakannya walau bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Dalam kemalangan lain, seorang pengawal keselamatan, M. Subiramani, 55, dari Kampung Rusa Division di sini, turut meninggal dunia setelah motosikal jenis Honda Ex5 yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Lencong Timur berdekatan Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini, hari ini.

Semasa kejadian pukul 2.30 petang, mangsa sedang berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Walau bagaimanapun, pemandu kenderaan Perodua Alza itu, Tan Lip Tier, 31, dari Perumahan Pangsapuri Widuri, Butterwoth, Pulau Pinang, tidak mengalami kecederaan.

Sazalee menambah, kedua-dua kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN